Pembalakan haram disiasat

Pembalakan haram disiasat

KOTA KINABALU, 11 Nov (Bernama) – Jabatan Perhutanan Negeri Sabah (SFD) akan menyiasat laporan mengenai dakwaan pembalakan haram dan pengubahan hutan di Santuari Hidupan Liar Kinabatangan (LKWS).

Pengarah SFD, Datuk Sam Mannan berkata pihaknya tidak sedar mengenai perkara itu dan ia adalah pertama kali beliau mendengar mengenai kejadian itu di kawasan itu.

“Kawasan hilir Kinabatangan kebanyakannya kawasan paya, selain kawasan perlindungan hidupan liar, ia juga terdiri daripada enam kawasan hutan kecil terpelihara. Bagaimanapun, kita akan menyiasat dakwaan ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Selasa lepas, media melaporkan bahawa pengubahan hutan untuk pertanian serta pembalakan dan pemburuan haram mengancam LKWS walaupun sudah 10 tahun kawasan itu diwartakan sebagai kawasan yang dilindungi sepenuhnya.

Menurut Pengarah LKWS, Dr Benoit Goossens, akibat kegiatan haram itu, habitat hidupan liar di hutan tersebut turut musnah.