Pembangkang ejek Mugabe di parlimen

Pembangkang ejek Mugabe di parlimen

HARARE, 26 Ogos (AFP) – Anggota perundangan pembangkang mengganggu dan mengejek Presiden veteran Zimbabwe, Robert Mugabe berhubung situasi ekonomi negara itu ketika beliau menyampaikan ucapan di parlimen semalam.

Anggota-anggota Pergerakan Perubahan Demokratik (MDC) mempersoalkan dasar ekonominya, mengejek-ejek pemimpin berusia 91 tahun itu ketika beliau menjelaskan dasar yang berkesudahan kurang dari setengah jam.

Apabila Mugabe – yang sudah berkuasa sejak Zimbabwe mencapai kemerdekaan dari Britain pada 1980 – menggariskan rancangan kerajaannya untuk memulihkan ekonomi, tetapi dengan tiba-tiba seorang anggota perundangan berteriak ke arahnya sambil berkata “anda tidak mampu lagi melakukannya.”

Mugabe membentangkan rancangan 10 perkara yang termasuk memantapkan industri pertanian, menggalakkan pelaburan sektor swasta dan menentang amalan rasuah.

“Bagaimana dengan mewujudkan peluang pekerjaan?” seorang anggota pembangkang berteriak sementara seorang lagi menuduh kerajaan Mugabe “rasuah.”

Ekonomi negara Afrika selatan itu mengalami kemerosotan sejak lebih sedekad dengan pertumbuhan rendah, mudah tunai dan pengangguran yang tinggi.

Kerajaan sudah mengurangkan ramalan pertumbuhan bagi 2015 kepada 1.5 peratus berbanding 3.2 peratus sebelumnya ekoran pertumbuhan perlahan dalam sektor pertanian. Banyak syarikat yang sudah ditutup, mengurangkan perniagaannya atau berpindah lokasi ke negara-negara jiran.