Pembangkang Kemboja akhiri boikot parlimen

Pembangkang Kemboja akhiri boikot parlimen

PHNOM PENH, 16 Dis (Reuters) – Anggota perundangan pembangkang Kemboja menamatkan pemboikotan ke atas parlimen hari ini dalam bidaan untuk mengurangkan kemelut di antara pemimpin mereka yang kini hidup dalam buangan dan perdana menteri negara itu yang mengancam mencetuskan semula ketegangan politik yang semakin membarah.

Parti Penyelamat Kebangsaan Kemboja (CNRP) memboikot parlimen sejak Oktober dalam respons ke atas pemukulan dua anggota perundangan, selepas demonstrasi pro parti pemerintah, yang hampir menggagalkan perjanjian rapuh di antara parti politik yang bersaing.

Perhimpunan itu menjurus kepada penyingkiran naib presiden CNRP Kem Sokha sebagai timbalan presiden parlimen dalam undian yang diboikot oleh CNRP yang mempersoalkannya sebagai tidak berperlembagaan.

“Kami merujuk semula kepada parlimen sebagai sebahagian budaya dialog dan untuk memperkukuhkan badan perundangan,” anggota perundangan CNRP Nhem Ponhearith memberitahu Reuters.

‘Budaya dialog’ merujuk kepada perjanjian yang dicapai di antara Parti Rakyat Kemboja (CPP) dengan CNRP tahun lepas untuk menamatkan pemboikotan selama setahun parlimen berhubung keputusan pilihan raya 2013 yang dipertikaikannya.

Anggota parlimen Kemboja ketika menghadiri sesi pleno pada Perhimpunan Kebangsaan Kemboja di bahagian tengah Phnom Penh semalam. – Reuters
Anggota parlimen Kemboja ketika menghadiri sesi pleno pada Perhimpunan Kebangsaan Kemboja di bahagian tengah Phnom Penh semalam. – Reuters

Mereka bersetuju pada hujung minggu untuk kembali ke parlimen demi bersama-sama mengkaji semula draf undang-undang, terutamanya perundangan kesatuan sekerja.

“CNRP mengadakan pertemuan dengan para wakil kesatuan dan kami perlu mendapatkan pandangan mereka bagi perbincangan di parlimen,” anggota perundangan CNRP Mu Sochua memberitahu Reuters.

Pemimpin CNRP Sam Rainsy kini hidup dalam buangan sejak waran tangkap ke atasnya dikeluarkan pada 12 November lepas berhubung kes memfitnah lama yang sudah pun diberikan pengampunan.

Para pengkritik menuduh Perdana Menteri Hun Sen yang mengeluarkan arahan agar kes itu diaktifkan semula.

Sam Rainsy turut dikenakan dakwaan kerana pemalsuan dan menghasut melalui akaun Facebooknya. Jika sabit kesalahan beliau boleh dikenakan hukuman penjara 12 tahun.

ARTIKEL YANG SAMA