Pembangkang mahu pendaftaran baru pengundi

Pembangkang mahu pendaftaran baru pengundi

ACCRA, 19 Ogos – Parti pembangkang utama Ghana semalam meminta suruhanjaya pilihan raya supaya mewujudkan pendaftaran pengundi baru sebelum pilihan raya tahun depan, selepas dakwaan penipuan pendaftaran membayangi pengundian terakhir negara Afrika Barat tersebut.

Parti Patriotik Baru (NPP) berkata ia mempunyai bukti yang jelas bahawa daftar pengundi bagi pilihan raya 2012 dipenuhi dengan senarai pengundi yang tidak layak, termasuk senarai nama warga Togo.

Togo adalah tempat tinggal etnik Ewe yang juga boleh ditemui di tenggara Ghana, di mana ia dianggap sebagai kubu kuat Presiden John Mahama dari parti Kongres Demokratik Kebangsaan (NDC).

“Pendaftaran pengundi penuh dengan penipuan dan tidak digunakan bagi pilihan raya 2016,” calon naib presiden NPP Mahamudu Bawumia memberitahu sidang media. “Pagi ini kami membentangkan persoalan kami serta bukti mengenai perkara ini kepada suruhanjaya pilihan raya.

“Bukti yang kami ada dengan jelas menunjukkan bahawa pendaftaran pengundi Ghana dipenuhi dengan penipuan,” katanya.

Pendaftaran baru perlu dilakukan menjelang Jun tahun depan dan mestilah diaudit secara bebas oleh firma antarabangsa sebelum pilihan raya pada Disember, tambah Bawumia.

NPP mencabar keputusan pilihan raya presiden Ghana pada 2012 di mahkamah, sambil berkata Mahama meraih manfaat daripada pengundian yang tidak sah. Bagaimanapun mahkamah mengekalkan kemenangan Mahama selepas persaingan lapan bulan di mahkamah. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA