Pembangkang Syria tolak cadangan PBB

Pembangkang Syria tolak cadangan PBB

GENEVA, 17 April (AFP) – Pihak pembangkang Syria menolak cadangan utusan PBB yang mengekalkan Bashar al-Assad sebagai presiden ketika peralihan politik dengan tiga timbalan dari pemilihan pihak penentang beliau.

Utusan PBB Staffan de Mistura memberitahu pihak pembangkang Syria yang menghadiri rundingan damai di Geneva bahawa cadangan boleh menamatkan ‘kitaran kejam’ perdebatan berhubung tempoh peralihan untuk menamatkan peperangan, satu sumber memberitahu AFP semalam.

Di Syria, puluhan ribu rakyat Syria berisiko berpindah tempat ketika pertempuran antara kumpulan pemberontak dan pejuang berani mati semakin hebat di utara negara itu. Pertempuran yang berterusan di seluruh kawasan wilayah Aleppo mengancam akan menggagalkan gencatan senjata rapuh dan menjejaskan pusingan terbaru rundingan tidak langsung di Switzerland antara pihak rejim dan pihak pembangkang.

Nasib Assad masih halangan utama dalam rundingan yang melibatkan Jawatankuasa Tinggi Rundingan(HNC) dari pihak pembangkang dan sebuah delegasi kerajaan. HNC menegaskan Assad mesti pergi, tetapi Damsyik membantah permintaan itu.

Sumber HNC memberitahu AFP semalam bahawa jawatankuasa itu telah menolak cadangan de Mistura yang akan menyaksikan Assad masih menjadi presiden sepanjang tempoh peralihan.

HNC pula akan dibenarkan memilih sendiri tiga orang timbalan presiden, sumber itu berkata dengan merahsiakan identitinya kerana dia tidak dibenarkan untuk bercakap kepada media.