Pembangunan Forest City bakal wujud 220,000 pekerjaan

Pembangunan Forest City bakal wujud 220,000 pekerjaan

SINGAPURA, 22 Jan (Bernama) – Pembangunan ‘Forest City’ bakal mewujudkan kira-kira 220,000 pekerjaan kepada penduduk tempatan menjelang 2035, kata Pengarah Eksekutif Country Garden Pacificview Datuk Md Othman Yusof.

Projek itu yang melibatkan kos AS$58.3 bilion (AS$1=RM3.05) dalam tempoh lebih 20 tahun, dijangkakan merangsang ekonomi wilayah Iskandar dan jirannya Singapura.

Lapan industri, seperti pendidikan, penjagaan kesihatan dan pelancongan, akan menjadi tonggak utama pertumbuhan ekonomi Forest City. Md Othman berkata kerajaan tidak menawarkan insentif baharu kepada pemaju asing memadangkan mereka memperoleh kemudahan yang sama yang dinikmati oleh mana-mana syarikat yang melabur di wilayah Iskandar.

Namun kerajaan persekutuan mungkin mengumumkan beberapa insentif pada Mac bagi menarik lebih banyak pelaburan ke wilayah ekonomi itu, katanya kepada media Malaysia di luar Forum Pembangunan Bandar Raya Eko dan sidang media Forest City Global di sini.

Terletak di empat pulau buatan di Iskandar Malaysia, Forest City dibangunkan bersama oleh Country Garden Holdings Co Ltd China dan syarikat Johor, Esplanade Danga 88 Sdn Bhd.

Forest City berkeluasan 1,386.05 hektar ialah pembangunan mesra alam pelbagai kegunaan, terbesar di Asia dari segi jumlah unit yang akan dibangunkan, bertemakan reka bentuk bandar pintar mesra alam.

Untuk rancangan jangka panjang, Country Garden sedang berunding dengan kerajaan tempatan Malaysia bagi menyediakan kemudahan masuk ke ‘Forest City’ seperti sistem transit aliran ringan dan rangkaian feri yang menghubungkannya ke Singapura selain cadangan kereta api berkelajuan tinggi Singapura-Malaysia.

Md Othman berkata jambatan akan dibina bagi menghubungkan pulau-pulau terbabit selain dihubungkan dengan LinKedua ke Singapura.

“Pelancaran pertama Forest City dijangka dilakukan pada separuh pertama tahun ini.

“Buat masa ini kami belum dapat menyatakan nilai pembangunan kasar Forest City memandangkan ia dibangunkan secara berperingkat-peringkat. Kami akan laksanakan dalam sembilan peringkat dalam tempoh lebih 20 tahun,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA