Pembangunan lapangan terbang digiatkan

Pembangunan lapangan terbang digiatkan

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani dan Sim Y.H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Mei – Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) terus melaksanakan penambahbaikan dan amat terbuka untuk menerima ulasan dan maklum balas daripada orang ramai terutama para penumpang dan pengunjung ke lapangan terbang berkenaan supaya dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik.

Rancangan perkembangan dan kemudahan terkini yang dilaksanakan di lapangan terbang itu dipaparkan melalui skrin digital untuk memberikan peluang kepada orang ramai mengetahui dan memahami pelan-pelan pembangunan yang dilaksanakan.

“Kami amat gembira kerana usaha itu telah memberikan peluang kepada kami untuk mendapat maklum balas daripada mereka dan setakat ini, komen yang diterima adalah positif,” kata Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa bin Haji Sirat dalam temu bual bersama Media Permata mengenai perkembangan terkini bagi LTAB, hari ini.

Mengulas mengenai dengan rancangan bagi membina sebuah hotel di lapangan terbang berkenaan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa menyatakan bahawa lapangan terbang pada masa ini mempunyai ruang yang lebih besar daripada dahulu dan ruang itu akan ditawarkan kepada pihak pelabur menggunakan kaedah rakan kongsi swasta dan awam (Public Private Partnership) di mana pelabur-pelabur yang berminat dipelawa untuk membangunkan lapangan terbang ke tahap standard antarabangsa.

pg08_160527_a pg08_160527_b

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa ketika ditemu bual media.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa ketika ditemu bual media.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat meninjau sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat meninjau sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat meninjau Pusat Kawalan Operasi Penerbangan Diraja Brunei.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat meninjau Pusat Kawalan Operasi Penerbangan Diraja Brunei.

pg08_160527_g

Beliau menerangkan lagi bahawa pihaknya akan menawarkan kepada pelabur itu ruang berkenaan mengikut jangka masa yang tertentu tertakluk kepada jumlah pelaburan.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa berkata bahawa lebih 20 pihak telah menyatakan minat mereka terhadap cadangan itu dan Kementerian Perhubungan mengalu-alukan mereka untuk menghantar expression of interest.

“Kami juga meminta mereka untuk menghantar cadangan mereka kepada kami dan selepas itu, tender bagi projek berkenaan akan dikeluarkan kemudian.

“Harapan kami ialah untuk melihat jenis-jenis cadangan yang mereka ingin kemukakan dan berapa banyak pelaburan yang akan dilaburkan. Berdasarkan itu, kami akan memberikan sokongan kepada cadangan yang diberikan.”

Usaha yang dilaksanakan adalah untuk menjenamakan LTAB sebagai satu destinasi dan pada masa yang sama untuk menarik lebih banyak pengunjung ke Negara Brunei Darussalam.