Pembangunan PMB masuki fasa baru

Pembangunan PMB masuki fasa baru

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mei – Pembangunan infrastruktur Pulau Muara Besar (PMB) memasuki fasa baru, hari ini, dengan penandatanganan kontrak pembinaan dan upacara pecah tanah bagi jambatan penghubung, sistem jalan raya dan kemudahan infrastruktur di antara Lembaga Kemajuan Ekonomi Negara Brunei Darussalam (BEDB) dengan China Harbour Engineering Company Limited (CHEC).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Ali bin Haji Apong, berkata pembinaan jambatan penghubung itu dijangka akan membuka lebih banyak peluang perniagaan sampingan kepada syarikat tempatan dan pembekal perkhidmatan.

Sehubungan itu, CHEC digalakkan mengaturkan urus niaga dengan syarikat pembekal dan kontraktor tempatan bagi memastikan pemindahan pengetahuan dan kepakaran dengan menawarkan graduan tempatan yang berkelayakan jawatan dalam syarikat mereka bagi sama-sama menjayakan projek yang penuh cabaran itu sebagai salah satu sumbangan tanggungjawab sosial korporat CHEC kepada negara ini.

Beliau membuat saranan ini pada majlis menandatangani kontrak dan pecah tanah projek itu di tapak pendaratan cadangan jambatan PMB di Jalan Perusahaan, Kampung Serasa hari ini.

Hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, Haji Hamzah bin Haji Sulaiman, Pemangku Ketua Pegawai eksekutif BEDB, Hajah Hasnah binti Haji Ibrahim dan Pengerusi CHEC, Mo Wen He.

Haji Hamzah (tengah) menyaksikan upacara pecah tanah tapak jambatan PMB.
Haji Hamzah (tengah) menyaksikan upacara pecah tanah tapak jambatan PMB.
Haji Hamzah (ketiga dari kanan) menyaksikan pertukaran dokumen kontrak antara Hajah Hasnah dan Shi Yang Tao
Haji Hamzah (ketiga dari kanan) menyaksikan pertukaran dokumen kontrak antara Hajah Hasnah dan Shi Yang Tao

Hajah Hasnah menandatangani bagi pihak BEDB sambil disaksikan oleh Penolong Ketua Pegawai Eksekutif yang juga Ketua Pembangunan Infrastruktur BEDB, Julian Fung manakala CHEC diwakili oleh Pengerusinya, Mo Wen He dan disaksikan oleh Timbalan Presiden CHEC, Shi Yang Tao.

Dalam ucapannya yang dibacakan oleh Haji Hamzah selaku wakil peribadinya, Dato Paduka Haji Ali menegaskan bahawa pembinaan jambatan Pulau Muara Besar merupakan satu mercu tanda yang penting bagi Negara Brunei Darussalam terutamanya BEDB.

Ini kerana projek tersebut akan mentransformasikan PMB menjadi sebuah taman perindustrian petrokimia dan industri hiliran berkaitan yang bertaraf dunia.

Pembangunan pulau itu juga menandakan komitmen kerajaan Brunei dalam menyediakan kemudahan infrastruktur utama yang strategik dalam usahanya menarik lebih banyak pelaburan langsung asing ke negara ini.

Pembangunan jambatan, jalan raya dan kemudahan awam di Pulau Muara Besar membabitkan pembinaan jambatan sepanjang 2.7 kilometer yang akan menghubungkan tanah besar dengan pantai barat pulau itu, sistem jalan raya sepanjang 2.925 kilometer di pulau itu dan jalan penghubung di sepanjang Jalan Perusahaan serta kemudahan seperti jalinan grid tenaga elektrik, sistem komunikasi serta loji air mentah dan air yang dirawat.

Di samping menghubung pulau berkenaan dengan tanah besar bagi pengangkutan barangan, perkhidmatan dan pembinaan, projek yang dijangka siap pada 2018 itu juga akan membuka peluang sosioekonomi baru yang diharap dapat memberi manfaat kepada kontraktor dan pembekal barangan binaan tempatan.