Pembangunan rancak industri halal tingkatkan pelancongan negara

Pembangunan rancak industri halal tingkatkan pelancongan negara

MELAKA, 16 Sept – Sektor pelancongan negara mengambil pendekatan proaktif dengan memanfaatkan pelbagai peluang yang dijana pembangunan rancak industri halal domestik.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata pelbagai inisiatif pelancongan dilaksanakan antaranya ‘Halal Duty Free Outlet’ yang diwujudkan Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA) bagi memasarkan produk halal perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada pelancong.

Reputasi sebagai negara Islam contoh, asas industri pembuatan kukuh, infrastruktur lengkap, kepakaran dalam pengurusan sistem dan prosedur pensijilan halal memberi peluang cerah untuk negara meneraju sektor halal dunia, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival ‘Go Halal! Go Domestic!’ di sini, malam tadi.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Halal Retail Asia (HRA) Amizan Mohd dan Presiden MITA Uzaidi Udanis.

Beliau berkata Pertubuhan Pelancongan Dunia Bangsa-bangsa Bersatu mengunjurkan kadar ketibaan pelancong seluruh dunia meningkat empat peratus, dengan negara Asia dan Pasifik dijangka mencatat kenaikan empat hingga lima peratus.

Datuk Mas Ermieyati Samsudin (dua kanan) melihat produk keluaran usahawan kecil dan sederhana yang dijual pada Karnival Go Halal! Go Domestic! Kelmarin. – Bernama
Datuk Mas Ermieyati Samsudin (dua kanan) melihat produk keluaran usahawan kecil dan sederhana yang dijual pada Karnival Go Halal! Go Domestic! Kelmarin. – Bernama

“Bagi 2015 sahaja, sektor pelancongan (dunia) berjaya mencatat pertumbuhan dengan nilai RM67.1 bilion.

Justeru itu, Malaysia (berkedudukan) sangat positif untuk menyasarkan ketibaan 36 juta pelancong dari seluruh dunia dengan hasil pendapatan RM168 bilion pada 2020,” katanya.

Di samping itu, populasi penduduk Islam dunia direkodkan sebanyak 2.08 bilion di tujuh benua pada 2014, katanya.

Dalam perkembangan lain, Mas Ermieyati berkata perancangan strategik diperlukan supaya produk pengusaha tempatan dapat dipasarkan menepati sasaran.

Beliau berkata antara inisiatif yang wajar diberi pengiktirafan adalah kerjasama perniagaan dua hala MITA dan HRA dengan MAHIEZ Alliance Group dari China untuk memasarkan sebanyak 500 produk PKS tempatan ke negara itu dan Asia Barat. – Bernama