Pembangunan sektor logistik diutamakan

HONG KONG, 13 Nov – Malaysia akan memberi tumpuan ke atas pembangunan sektor logistik dan meningkatkan perkongsian logistik dalam kalangan negara anggota ASEAN, China dan Asia Pasifik, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata Malaysia komited untuk mewujudkan rangkaian bersepadu dan saling berhubung dengan lancar merentas rangkaian pengangkutan darat, penerbangan dan maritim, termasuk kereta api, lapangan terbang dan pelabuhan laut.

“Matlamat kami adalah untuk membangunkan persekitaran yang cekap, produktif dan mesra perniagaan dalam usaha kami mengubah Malaysia menjadi hab logistik di rantau ini.

“Malah, dalam Laporan Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2017, kami berada pada kedudukan ke-23 dari segi memudahnya menjalankan perniagaan, daripada 190 ekonomi,” katanya dalam ucapan khas pada Sidang Kemuncak Ekonomi China Dunia (WCES) ke-9, di sini hari ini.

Menteri Pengangkutan merangkap Penasihat Sidang Kemuncak Ekonomi China Dunia, Datuk Seri Liow Tiong Lai (empat kanan) beramah mesra dengan Pengerusi Sidang Kemuncak Ekonomi China Dunia, Tan Sri Dr Michael Yeoh (tiga kiri) selepas perasmian sidang kemuncak itu kelmarin. – Bernama

Liow yang juga Penasihat Kehormat kepada WCES, berkata menerusi rangkaian pengangkutan dan logistik negara yang semakin meningkat, beliau yakin kedudukan Malaysia akan bertambah baik. Beliau berkata tidak boleh dinafikan lagi bahawa infrastruktur pengangkutan penting untuk mempromosikan hubungan yang semakin meningkat antara negara.

“Ia merupakan pemboleh utama yang sudah pasti akan membuka peluang baharu dalam perniagaan. Khususnya, ekonomi membangun di Asia berpeluang meraih manfaat besar, memandangkan pengembangan pasaran dan pembentukan rangkaian baharu akan menggalakkan lebih banyak perdagangan,” katanya. – Bernama