Pembangunan semula diperlukan di Pekan Seria

Pembangunan semula diperlukan di Pekan Seria

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 11 Mei – Sudah hampir setahun, sebuah kedai ikonik kepada kalangan penduduk di sini, tinggal rangka dalam kejadian kebakaran besar dan peristiwa itu sudah semakin dilupakan masyarakat biarpun ia merupakan salah satu perbualan hangat sehingga hampir sebulan setelah kejadiannya September lalu.

Pihak Berkuasa Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi), baru-baru ini, mengesahkan bahawa mereka telah meluluskan pelan dinding pengadang pihak arkitek untuk memagari tapak berkenaan, sebagai satu langkah sebelum kerja merobohkan dijalankan.

Sementara itu, reka bentuk yang dicadangkan bagi rumah kedai baru akan dipisahkan kepada sebanyak empat lot, dimiliki oleh empat pemilik berasingan yang telah diakui oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa. Orang ramai terutamanya pengunjung di kawasan Gerai Jalan Sultan Omar Ali di sini, mengalu-alukan berita cadangan pembangunan semula kawasan premis kedai di Lot 27 hingga 30 itu, sebagai mengembalikan keceriaan Pekan Seria, di samping membawa kembali kemeriahan perniagaan di sekitar kawasan berkenaan yang dilihat agak merudum sejak ketiadaan kedai Milimewah di sana.

Penghulu Mukim Seria, Haji Jamail bin Haji Linap, semasa ditemui hari ini, melahirkan harapan untuk pembangunan semula dilakukan dengan segera untuk menghidupkan semula Pekan Seria.

Keadaan kedai ikonik Pekan Seria setelah terlibat dalam kejadian kebakaran besar pada September lalu (gambar fail).
Keadaan kedai ikonik Pekan Seria setelah terlibat dalam kejadian kebakaran besar pada September lalu (gambar fail).

“Orang ramai, termasuk diri saya sendiri, merasa tidak sabar untuk melihat berdiri dengan megahnya semula sebuah premis beli-belah di kawasan yang nampak suram sejak kejadian kebakaran besar, dan sejarah hitam bagi penduduk di sini September lalu,” ujarnya.

Beliau turut berkata, bangunan perniagaan berkenaan merupakan salah satu mercu tanda bagi Pekan Seria, dan ia merupakan tempat perhentian membeli-belah kalangan penduduk di sana.

Menurutnya, kejadian kebakaran itu telah banyak memberi kesan kepada peniaga-peniaga gerai makanan berdekatan, kerana sebelum ini, orang ramai yang membeli-belah di premis berkenaan akan singgah minum di gerai mereka.

Kejadian kebakaran yang dilaporkan berpunca daripada kerosakan elektrik pada petang 25 September lalu itu telah mengakibatkan kerugian yang dianggarkan berjumlah kira-kira $7 juta.

ARTIKEL YANG SAMA