Pembantah antipenghijrahan mengganas

Pembantah antipenghijrahan mengganas

COLOGNE, Jerman, 10 Jan (Reuters) – Polis rusuhan meleraikan pembantah berhaluan kanan di Cologne semalam ketika mereka berarak menentang dasar penghijrahan pintu terbuka Jerman selepas pencari perlindungan dikenal pasti sebagai tersangka dalam serangan ke atas wanita sehari sebelum Tahun Baru.

Serangan itu, daripada perkosaan kepada kecurian, mengejutkan Jerman, yang menerima 1.1 juta penghijrah dan pelarian pada 2015 di bawah undang-undang perlindungan yang dipelopori oleh Canselor Angela Merkel, meskipun menerima bantahan kuat.

Sejurus sebelum bantahan bermula pada hari ini, Merkel memperketatkan dasarnya terhadap penghijrah, berjanji akan mengusir penjenayah dan pengurangan dalam jumlah penghijrah ke Jerman pada jangka panjang.

Polis berkata kira-kira 1,700 orang menghadiri rapat yang dianjurkan oleh gerakan anti-Islam PEGIDA, yang mendakwa pembabitan penghijrah dalam serangan Cologne sebagai bukti dasar Merkel mempunyai kelemahan.

Seorang wanita berjalan di hadapan stesen kereta api utama di Cologne. - Reuters
Seorang wanita berjalan di hadapan stesen kereta api utama di Cologne. – Reuters

Penunjuk perasaan, ada di antara mereka mempunyai tatu simbol haluan kanan seperti tengkorak dalam topi tentera Jerman, telah melaung “Merkel mesti pergi” dan “inilah perarakan tentangan negara.” “Pelarian rogol tidak dialu-alukan,” demikian menurut satu pelekat.

Seorang jurucakap polis berkata kira-kira separuh daripada jumlah pada bantahan PEGIDA berada di “tempat kejadian samseng.” Ada di antara mereka melontar botol dan mercun pada pegawai, dan polis rusuhan menggunakan penyembur air untuk meleraikan pembantah.

Dua orang mengalami kecederaan dalam pertempuran itu, dan polis menahan beberapa penunjuk perasaan, kata seorang saksi Reuters.

PEGIDA, atau Warga Eropah Patriotik Menentang Proses Islam Barat, hampir lenyap pada tahun lalu apabila pemimpinnya meletak jawatan selepas sekeping gambar mengenainya disiarkan yang menyamar sebagai Adolf Hitler.