Pembantah Armenia terus berkhemah di istana presiden

Pembantah Armenia terus berkhemah di istana presiden

YEREVAN, 26 Jun (AFP) – Beratus pembantah Armenia masih berkhemah berhampiran istana presiden pada awal hari ini setelah kerajaan tidak menghiraukan permintaan mereka supaya jangan menaikkan harga elektrik.

Pembantah menyekat lalu lintas di jalan besar ibu negara, kata seorang wartawan AFP, selepas kira-kira 12,000 orang keluar dalam hujan lebat lewat semalam dalam rapat anti-kerajaan terbesar dalam beberapa tahun.

Kemarahan orang awam telah meningkat mengenai satu tindakan untuk menaikkan harga tenaga sebanyak lebih 16 peratus dari 1 Ogos di negara miskin Caucasus yang mempunyai 3.2 juta orang.

Semalam, Perdana Menteri Hovik Abrahamyan memberitahu mesyuarat kabinet bahawa kerajaan akan meneruskan dengan pertambahan tarif elektrik meskipun kemarahan di negara yang telahpun terjejas teruk oleh krisis ekonomi di Rusia.

Beliau berkata kenaikan yang dirancang adalah bertujuan untuk mengelak “kitaran bekalan elektrik yang terputus yang akan membawa kepada kesan teruk untuk ekonomi negara.”

Kata-kata Abrahamyan mencetuskan kemarahan baru di kalangan pembantah yang berikrar akan terus memberi tekanan kepada kerajaan sehingga permintaan mereka dipenuhi.

Bantahan bermula seminggu lalu pada 19 Jun dan meningkat setelah beratus polis rusuhan bertindak pada awal Selasa untuk meleraikan rapat dengan menggunakan penyembur air dan belantan getah.

Washington, Brussels dan OSCE semuanya meluahkan kebimbangan mengenai keganasan yang berlaku.

Syarikat pengagihan tenaga Armenia telah berkata kenaikan harga diperlukan disebabkan penurunan nilai mendadak mata wang negara, dram.

ARTIKEL YANG SAMA