Pembantah etnik Nepal bertempur lagi

Pembantah etnik Nepal bertempur lagi

KATHMANDU, Nepal, 16 Mei (AP) – Penyokong kumpulan minoriti etnik yang menuntut perubahan dalam perlembagaan baru Nepal bertempur dengan polis pada hari ini dan menyekat jalan raya utama berhampiran pejabat perdana menteri, tatkala bantahan mereka memasuki hari kedua.

Kira-kira 500 penunjuk perasaan berkumpul, melaung slogan anti-kerajaan dan berusaha menolak merempuh sekatan polis. Polis rusuhan menggunakan belantan dan penunjuk perasaan dengan kayu bertempur untuk masa yang singkat, tetapi tidak ada kecederaan serius yang dilaporkan dari kedua-dua pihak.

Keselamatan dipertingkatkan sekitar Singha Durbar, kompleks di Kathmandu yang menempatkan pejabat perdana menteri dan pejabat kerajaan, dengan beratus polis rusuhan mengawal jalan raya.

Semalam, beratus pembantah bertempur dengan polis dan menyekat sebatang jalan utama yang menuju ke pejabat perdana menteri, namun tidak ada kecederaan yang dilaporkan.

Penyokong dari minoriti etnik Nepal cuba untuk memecahkan kepungan polis, semasa mereka membantah di jalan utama yang menuju ke pejabat Perdana Menteri di Kathmandu, Nepal, Ahad lalu. – AP
Penyokong dari minoriti etnik Nepal cuba untuk memecahkan kepungan polis, semasa mereka membantah di jalan utama yang menuju ke pejabat Perdana Menteri di Kathmandu, Nepal, Ahad lalu. – AP

Kumpulan minoriti Madhesi, yang memimpin bantahan, mahu negeri yang lebih besar daripada yang diperuntukkan dalam perlembagaan yang diluluskan pada tahun lalu. Sekurang-kurangnya tiga kumpulan minoriti lain yang menyertai bantahan mahu negeri yang berasingan untuk penduduk mereka.

Nepal, dengan penduduk berjumlah 28 juta sahaja, mempunyai lebih daripada 100 kumpulan etnik.

Bantahan pimpinan Madhesi dari September hingga Februari meninggalkan lebih 50 orang terbunuh dan menyekat kawasan sempadan utama dengan India yang membawa kepada kekurangan teruk bahan api, ubat dan bekalan lain.

Beberapa rundingan dengan kerajaan gagal mencapai sebarang perjanjian.

ARTIKEL YANG SAMA