Pembantah Perancis berang reformasi buruh Hollande

Pembantah Perancis berang reformasi buruh Hollande

PARIS, 31 Mac (AFP) – Perancis hari ini bakal berdepan hari baru bantahan berhubung reformasi buruh, dalam satu lagi cabaran bagi kerajaan Presiden Francois Hollande.

Bantahan berketepatan dengan mogok oleh para pengawal lalu lintas udara yang dijangka mengakibatkan keadaan kelam kabut bagi beribu-ribu orang penumpang. Bagi kerajaan Sosialis Hollande, keutamaan ialah untuk menghalang bantahan oleh pihak kesatuan dan para pelajar dari bertukar menjadi ganas, seperti yang telah berlaku minggu lalu.

Sebilangan kesatuan yang menginginkan reformasi telah memberikan sokongan mereka kepada cadangan perubahan ke atas undang-undang buruh yang ketat, tetapi berpuluh-puluh ribu orang pelajar dan pekerja keluar untuk mengadakan bantahan seminggu lalu, marah dengan rancangan untuk memudahkan lagi syarikat-syarikat yang bermasalah untuk memecat pekerja.

Beberapa buah kereta dibakar di Paris dan lebih 30 orang diberkas ketika para pembantah bertempur dengan pihak polis yang bertindak balas dengan gas pemedih mata.

Video yang memaparkan seorang pegawai menumbuk seorang remaja lelaki berusia 15 tahun ketika dalam bantahan di ibu negara tersebar luas dan menambah lagi kemarahan. Para penganjur mengancam hari bantahan yang lebih besar lagi hari ini.