Pembantu kewangan ketahui nasib 26 Nov

Pembantu kewangan ketahui nasib 26 Nov

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_mahkamah-logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Nov – Seorang pembantu kewangan bank akan mengetahui nasibnya pada 26 November selepas mengaku bersalah di Mahkamah Perantaraan semalam atas pertuduhan melakukan pecah amanah dan memalsukan sijil simpanan.

Hakim Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar menetapkan tarikh hukuman itu terhadap Senisah Fuziah binti Mohammad Adi Zainal, 32, yang menghadapi pertuduhan melakukan pecah amanah $569,759.62 sen dan memalsukan sijil simpanan pelanggannya.

Dia yang bekerja di Bank Baiduri cawangan Tutong sejak 7 Ogos 2008 ditugaskan untuk berurusan dengan pelanggannya yang berminat untuk melabur wang mereka di dalam pelbagai jenis skim‘simpanan tetap’yang ditawarkan oleh bank itu.

Dalam tarikh yang berlainan, antara 26 Mei dan 22 Disember 2009, tertuduh menerima $234,304.62 sen daripada lapan orang pelangganya yang bersetuju untuk membuat simpanan wang mereka ke dalam akaun simpanan tetap.

Tertuduh antara 4 Januari dan 10 November 2010 menerima $335,455 dari 22 orang pelanggannya bagi tujuan yang sama. Tertuduh tanpa membukakan bank akaun simpanan tetap pelanggannya, telah mengambil wang itu untuk dirinya.

Untuk mengelak dari sebarang kecurigaan dari perbuatannya, tertuduh mengeluarkan sijil simpanan palsu kepada pelanggannya. Perbuatan tidak amanah tertuduh itu hanya diketahui pada 12 November 2010 apabila salah seorang daripada pelanggannya pergi ke cawangan bank di Sengkurong untuk membuat simpanan tambahan. Bagaimanapun dia (pelanggan) mendapati wang yang pernah disimpannya sebelum ini melalui tertuduh tidak pernah dimasukkan ke dalam akaun simpanan tetapnya.

Pihak bank terus menjalankan siasatan dalaman yang kemudian membawa kepada pembongkaran perbuatan tertuduh. Tertuduh terus digantung daripada jawatannya dan laporan polis dibuat. Tertuduh mengaku menggunakan wang itu antara lain untuk membeli barang elektronik dan gajet; perbelanjaan harian rumah; pembayaran kad kredit miliknya dan ahli keluarga; perbelanjaan majlis keluarga; pinjaman kepada ahli keluarga; membina pondok makanan; percutian ke luar negara; membaiki kereta; membayar bil dan pengubahsuaian rumah. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Suriana binti Haji Radin.

ARTIKEL YANG SAMA