Pembantu pemandu tren melecur terkena renjatan elektrik

Pembantu pemandu tren melecur terkena renjatan elektrik

KANGAR, 6 Jan (Bernama) – Seorang pembantu pemandu tren diesel (DRC) State Railway of Thailand (SRT), melecur 25 peratus di bahagian badan akibat terkena renjatan elektrik di stesen Kereta api Tanah Melayu Berhad (KTMB) Padang Besar, 30 kilometer dari sini, kelmarin.

Jurucakap KTMB berkata kejadian itu berlaku pukul 9.45 pagi semasa pekerja berumur 29 tahun itu menaiki tangga tren untuk memeriksa set alat pendingin hawa di atas bumbung koc tren Perkhidmatan Kereta api Elektrik (ETS).

“Semasa menaiki tangga, mangsa tidak perasan ada wayar elektrik yang menyalurkan bekalan elektrik untuk tren koc ETS dan dipercayai mangsa tersentuh wayar itu.

“Arus elektrik yang kuat telah menyebabkan badan mangsa melecur,” kata jurucakap itu kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata setelah terkena renjatan elektrik, mangsa masih dalam keadaan sedar kemudian dibantu oleh kakitangan SRT sebelum membawanya ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk rawatan lanjut.

Mangsa kini stabil selepas diberi rawatan dan dipindahkan oleh SRT ke sebuah hospital di Hat Yai, Thailand untuk meneruskan rawatan, tambahnya.

Jurucakap KTMB itu berkata tren tersebut adalah tren DRC pertama milik SRT yang menyediakan perkhidmatan pergi-balik dari Padang Besar ke Hat Yai.