‘Pembantu rumah pinjam’ ditahan

‘Pembantu rumah pinjam’ ditahan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 29 Jun – Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) telah menahan seorang wanita warganegara asing, untuk siasatan lanjut, setelah didapati melakukan kerja sebagai pembantu rumah pinjam, di sini, baru-baru ini.

Laporan daripada bahagian penguatkuasaan tersebut, hari ini menyatakan bahawa penahanan dibuat semasa Operasi Pemeriksaan Biasa pada 27 Jun lalu ke atas sebuah rumah persendirian di kawasan Kampung Pandan A, dengan sasaran warganegara asing yang melakukan kerja sebagai amah sambilan.

Melalui siasatan, wanita terbabit didapati telah bekerja selama setahun sejak tahun 2013, dan semasa pemeriksaan itu, dia gagal mengemukakan dokumen pengenalan dirinya yang sah dan mendakwa bahawa pasport asalnya disimpan oleh seorang lelaki tempatan (ejen) untuk urusan penyambungan jaminan pas imigresennya.

Namun wanita itu gagal untuk membuktikan kesahihan penjelasannya itu, dan penelitian selanjutnya oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang JIPK turut mendapati bahawa dia telah tinggal lebih masa di negara ini selama 1,552 hari.

Operasi pemeriksaan itu telah melibatkan penyertaan enam orang pegawai bahagian tersebut yang telah diketuai oleh pegawai imigresen kanan.

Seorang wanita warganegara asing didapati melakukan kerja sebagai amah sambilan di sebuah rumah di kawasan Kampung Pandan A.
Seorang wanita warganegara asing didapati melakukan kerja sebagai amah sambilan di sebuah rumah di kawasan Kampung Pandan A.
Wanita warga asing berkenaan juga gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah semasa diperiksa oleh pegawai Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang JIPK.
Wanita warga asing berkenaan juga gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah semasa diperiksa oleh pegawai Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang JIPK.

Sehubungan itu Pemangku Ketua Pegawai Imigresen, Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Kuala Belait sekali lagi mengingatkan kepada para majikan dan juga mana-mana individu terutama sekali warganegara asing supaya sentiasa patuh dan tidak melanggar sebarang akta dan peraturan imigresen yang telah ditetapkan.

Beliau turut menekankan bahawa Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang JIPK akan sentiasa menjalankan atau melaksanakan aktiviti-aktiviti penguatkuasaan berterusan sama ada secara persendirian atau bersama dengan agensi penguatkuasaan yang lain.

Ke arah aktiviti penguatkuasaan tersebut mereka mengalu-alukan orang ramai bagi sama-sama memberikan maklumat berhubung dengan pesalah-pesalah imigresen dengan menghubungi hotline JIPK di talian 8753888 atau 8734888, dan sebarang maklumat dan nama pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya.

ARTIKEL YANG SAMA