Pembayaran kad seluruh dunia meningkat 55%

Pembayaran kad seluruh dunia meningkat 55%

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Jumlah pembayaran kad di seluruh dunia dijangkakan meningkat 55 peratus antara 2015 dan 2021 kepada 417 bilion.

Menurut Unjuran Data Pembayaran Kad Global dan Unjuran RBR sehingga 2021, jumlah pembayaran kad di seluruh dunia meningkat 15 peratus pada 2015 kepada 270 bilion.

RBR ialah firma penyelidikan dan perundingan strategik yang berpangkalan di London yang memiliki pengalaman luas dalam perbankan runcit, automasi perbankan dan sistem pembayaran.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, RBR berkata kajian menunjukkan bahawa semakin ramai pengguna di seluruh dunia kini beralih kepada kad untuk membuat pembelian.

Di Thailand sebagai contoh, usaha bank pusat untuk mengurangkan penggunaan tunai disokong oleh pemasaran besar-besaran oleh bank-bank yang mempromosikan kad debit sebagai instrumen pembayaran, selain daripada hanya untuk mengeluarkan wang tunai dari ATM.

“Insentif juga ditawarkan kepada peniaga bagi meningkatkan penerimaan dan sekali gus meningkatkan penggunaan kad,” katanya.

Kajian itu menunjukkan peningkatan ketara dijangkakan dari Asia Barat dan Afrika, Eropah Timur dan Tengah selain Asia Pasifik, dengan kad secara puratanya kurang digunakan berbanding di Amerika Utara dan Eropah Barat.

Chris Herbert, Sekutu Kanan RBR berkata pertumbuhan kukuh dalam penggunaan kad dicatatkan oleh kesemua rantau, dengan pemegang kad di pasaran membangun secara beransur-ansur biasa menggunakannya selain wang tunai untuk pembayaran. – Bernama