Pembayaran pendahuluan dibatal

Pembayaran pendahuluan dibatal

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Dis – Dalam usaha mengembang majukan sektor kewangan agar semakin kukuh dan progresif, Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) membatalkan pembayaran pendahuluan (downpayment) bagi setiap pinjaman/pembiayaan kenderaan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, AMBD memaklumkan bahawa arahan-arahan yang telah dikeluarkan pada bulan Disember 2004 dan Oktober 2006 kepada syarikat-syarikat kewangan yang mengehendaki pelanggan menjelaskan bayaran minima 12.5 peratus daripada harga kenderaan (yang diluluskan Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri) sebagai wang pendahuluan, telah dibatalkan pada 8 September 2015 lalu.

Menurut AMBD, ini merupakan hasil penelitian mengenai keperluan berterusan terhadap arahan berkenaan dengan mengambil kira penambahbaikan terhadap infrastruktur kewangan Negara Brunei Darussalam dan juga notis-notis peraturan mengenai kredit yang baru-baru ini dikeluarkan.

Penelitian itu termasuklah, operasi Biro Kredit yang sudah berfungsi sepenuhnya semenjak 2012, boleh membantu syarikat-syarikat kewangan untuk menilai kedudukan kredit (credit worthiness) peminjam dengan lebih berhemat.

Selain itu, notis peraturan baru mengenai nisbah keseluruhan khidmat hutang atau Total Debt Service Ratio (TDSR) yang berkuat kuasa mulai 8 Jun 2015 adalah bertujuan untuk memastikan bahawa peminjam mempunyai pendapatan mencukupi untuk menampung keperluan perbelanjaan bulanan setelah membayar hutang mereka.

Kaedah TDSR juga menggalakkan peminjam untuk menguruskan hutang mereka dengan lebih cekap dan notis TDSR ini secara tidak langsung mendukung salah satu objektif utama arahan pembayaran pendahuluan tersebut, iaitu menggalakkan peminjam membuat perancangan teliti sebelum menandatangani sebarang komitmen pinjaman/pembiayaan kenderaan.

Walau bagaimanapun, syarikat-syarikat kewangan masih boleh mengehendaki pelanggan untuk menjelaskan bayaran minimum daripada harga kenderaan bagi tujuan keselamatan (due diligence) terhadap risiko.

AMBD dalam kenyataan itu turut menekankan bahawa tempoh maksimum bagi pinjaman/pembiayaan kenderaan masih kekal pada tempoh tujuh tahun.

Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai perkara ini bolehlah menghubungi Unit Penyeliaan Perbankan, Jabatan Regulatori di talian 2382253.

ARTIKEL YANG SAMA