Pembedahan pertama pindah kepala tahun depan

Pembedahan pertama pindah kepala tahun depan

ROM, 10 Jun – Pakar bedah saraf kontroversi Itali, Dr. Sergio Canavero, mengumumkan seorang pesakit China akan menjadi orang pertama menjalani pembedahan pemindahan kepala pada Disember 2017 jika beliau menerima sumbangan mencukupi dan kelulusan berbuat demikian.

Canavero berkata, teknologi dan pasukan untuk melakukan pembedahan itu sudah bersedia, bermakna cuma dana dan kebenaran etika kekal sebagai penghalang prosedur yang berkemungkinan mencatat sejarah berkenaan.

Beliau juga optimis menyatakan pesakit boleh berjalan semula dalam tempoh setahun selepas pembedahan itu.

“Kami mencari tarikh sekitar Krismas 2017 untuk melakukan pembedahan itu di China. Pasukan China sudah pun melakukan uji kaji ke atas mayat manusia untuk menajamkan teknologi,” kata Dr. Canavero.

Katanya, pesakit pertama beliau ialah rakyat China walaupun sebelum ini saintis teknologi Rusia, Valery Spiridonov, yang menderita gangguan otot disebut-sebut akan menjadi orang pertama berbuat demikian.

Dr. Canavero berkata, Spiridonov tidak boleh menerima tubuh penderma di China disebabkan masalah biologi dan alasan etika.

Pembedahan terbabit berisiko tinggi tetapi Canavero percaya kejayaan prosedur itu bergantung kepada menyejukkan penderma dan penerima di bawah 12 darjah Celsius bagi memastikan sel tidak mati akibat kekurangan oksigen ketika ia dilakukan.

“Ini akan memberikan masa mencukupi untuk memotong tisu sekitar leher dan menghubungkan ia dengan saluran darah utama menerusi tiub kecil,” katanya.

Sebaik kepala disambung, pesakit akan dibiarkan koma beberapa minggu untuk mengehadkan pergerakan leher yang baru disambung, manakala elektrod merangsang tulang belakang untuk menguatkan hubungan barunya. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA