Pembekal perabot M’sia raih jualan RM44 juta di Mumbai

Pembekal perabot M’sia raih jualan RM44 juta di Mumbai

KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) – Lapan pembekal perabot Malaysia meraih jualan berjumlah RM44 juta semasa Misi Pemasaran Khusus (SMM) ke Mumbai bermula 1 hingga 5 Disember lepas.

SMM dianjur oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi memacu eksport produk perabot Malaysia di peringkat dunia, terutamanya ke India.

Acara berkenaan juga menyediakan peluang bagi syarikat-syarikat Malaysia untuk bertemu dengan peruncit terbesar India serta pemilik projek di negara itu.

“India telah dikenal pasti sebagai pasaran berpotensi tinggi bagi peserta perabot Malaysia memandangkan terdapat perkembangan kelas pertengahan dan pertambahan pendapatan boleh belanja yang menyumbang kepada pertumbuhan pesat perniagaan perabot India,” demikian menurut Matrade dalam kenyataan hari ini.

Pada 2014, India merupakan pengguna perabot kelapan terbesar dan antara pasaran runcit utama kelima di dunia.

Matrade berkata import perabot India dari Malaysia naik 37.5 peratus kepada RM270.1 juta pada 10 bulan pertama tahun ini disebabkan oleh persaingan produk Malaysia di India serta peningkatan pertumbuhan perniagaan perabot yang disusun.

Malaysia merupakan pengeksport perabot kedua terbesar ke India bagi tempoh berkenaan selepas China.

ARTIKEL YANG SAMA