PEMBELA adakan projek komuniti

PEMBELA adakan projek komuniti

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 10 April – Persatuan Belia Belait (PEMBELA), baru-baru ini, telah melaksanakan projek komuniti untuk meningkatkan kemahiran belia dalam komunikasi, kepentingan berinteraksi dan rasa prihatin serta memupuk ke arah keperluan khas masyarakat yang berlangsung di Pusat Eric Goh.

Projek Pembangunan Kemahiran Kehidupan Asas bersama Pusat Eric Goh itu dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Eric Goh, Persatuan Bulan Sabit Merah, Jabatan Daerah Belait dan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan diketuai oleh Penolong Ketua Biro Remaja dan Kanak-Kanak, Dayang Nurul Raihah Syazana Syukriah @ Diana binti Abdul Rahim yang juga selaku Pengurus Projek.

Dalam temu bual bersama Media Permata, Dayang Nurul Raihah Syazana Syukriah @ Diana berkata, projek itu adalah untuk meningkatkan harga diri mereka dari segi berinteraksi secara lebih dekat lagi, untuk memahami lagi akan keadaan mereka dan di samping itu beramah mesra bersama mereka dalam sehari ini.

Projek pembangunan kemahiran hidup asas tersebut, terdiri daripada dua aktiviti utama iaitu membeli-belah dan memasak, di mana ahli-ahli PEMBELA disatukan dengan salah seorang pelajar Pusat Eric Goh untuk membeli barangan di Pusat Membeli-Belah Soon Lee dan sama-sama belajar memasak menggunakan barangan yang dibeli itu.

“Kami kumpulkan pelajar dengan sukarelawan kami, semasa aktiviti membeli-belah, terdapat 10 kumpulan dengan lima orang dalam setiap kumpulan, dua sukarelawan dan tiga pelajar dari Pusat Eric Goh.

Pengurus Projek (kiri) mengajar pelajar-pelajar Pusat Eric Goh dalam penyediaan makanan.
Pengurus Projek (kiri) mengajar pelajar-pelajar Pusat Eric Goh dalam penyediaan makanan.

“Mereka akan diberi senarai barangan untuk dibeli, dan diberi masa 45 minit untuk membeli semua barang-barang. Dalam masa 45 minit, mereka perlu berkomunikasi dan bekerja bersama-sama untuk melengkapkan senarai mereka. Jika mereka tidak boleh melakukannya dalam masa 45 minit, jawatankuasa akan membantu mereka menyelesaikan tugas mereka,” jelasnya.

Dalam aktiviti memasak pula, tambah beliau, pelajar diasingkan dalam lima kumpulan yang terdiri daripada enam orang dan dipandu oleh sukarelawan yang hadir dan memasak setiap hidangan di setiap stesen.

Beliau menyatakan harapan, acara ini dapat menarik orang ramai untuk lebih terlibat dalam menyokong pusat keperluan khas di seluruh negara.

“Tambahan pula, kami ingin belia kita untuk memecahkan halangan yang menghalang mereka daripada berinteraksi dengan orang-orang yang berkeperluan khas.

“Dengan ini kita boleh membantu untuk membawa belia kita ke peringkat seterusnya di mana mereka diberi peluang untuk berinteraksi secara dekat dengan pelajar-pelajar di sini dan menunjukkan kepada masyarakat ramai bahawa mereka mampu untuk bekerjasama dalam kehidupan yang normal,” tambahnya.

ARTIKEL YANG SAMA