Pembelajaran Tabika Kemas dipindahkan sementara

Pembelajaran Tabika Kemas dipindahkan sementara

SANDAKAN, 27 Julai (Bernama) – Sesi pembelajaran 150 murid Tabika Kemas Kampung Berhala Darat Sim-Sim di sini yang musnah terbakar petang semalam dipindahkan sementara ke Tabika Sinar Harapan Kampung Melayu Bumiputera Sim-Sim.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Raymond Tan Shu Kiah berkata ia bagi memastikan sesi pembelajaran dan pengajaran murid di tabika berkenaan tidak terjejas ekoran insiden kebakaran itu.

Menurutnya, sesi pembelajaran dan pengajaran murid Tabika Kemas Kampung Berhala Sim-Sim dimulakan pada sesi petang hari ini manakala sesi pembelajaran dan pengajaran 150 murid sedia ada di Tabika Sinar harapan berjalan seperti biasa pada waktu pagi, katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kebakaran empat rumah dan sebuah tadika di Kampung Sim-Sim dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian pada kira-kira 2 petang itu, 44 orang terdiri 30 dewasa dan 14 kanak-kanak dari empat keluarga hilang tempat tinggal. Raymond yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Tanjung Papat berkata beliau akan berjumpa dengan Pengarah Kemas Sabah untuk pembinaan semula bangunan Tabika Kemas Kampung Berhala Darat di tapak yang sama.

Datuk Raymond Tan (kiri) ketika membuat tinjauan di kawasan kebakaran. – Bernama
Datuk Raymond Tan (kiri) ketika membuat tinjauan di kawasan kebakaran. – Bernama