Pembelian Stag paling rendah AS$25 Juta

Pembelian Stag paling rendah AS$25 Juta

PERTH, 10 April (Bernama) – Perjanjian dimeterai Sona Petroleum Bhd untuk mengambil alih medan minyak Stag bernilai AS$25 juta adalah pada paras psikologi terendah dalam industri minyak dan gas (O&G), kata Mark Robertson.

Harga ini adalah kurang 50 peratus daripada harga dipersetujui pada asalnya, lebih rendah daripada harga yang dicadangkan perunding bebas, Gaffney Cline & Associates Pte Ltd (GCA).

“Penilaian saksama GCA untuk aset ini adalah antara AS$30 hingga AS$40 juta,” kata Robertson, Pengarah Urusan Sona E&P (Perth) Pty Ltd, anak syarikat diwujudkan Sona Petroleum Bhd awal tahun ini.

Beliau berkata, dalam usaha untuk menjalankan kajian penerokaan dan mempunyai syarikat yang sama seperti Stag, akan menelan kos sekurang-kurangnya AS$1 bilion.

“Untuk melakukan sesuatu seperti Sag daripada mula, ia akan memerlukan pelaburan sekurang-kurangnnya satu bilion dolar AS. “Oleh itu AS$25 juta (untuk Stag) bukanlah banyak sangat dalam industri minyak dan gas,” katanya kepada pemberita Malaysia di sini.

Pada 29 Februari lalu Sona Petroleum telah memuktamadkan perjanjian jual beli medan minyak Stag bernilai AS$25 juta, kurang 50 peratus daripada harga asal AS$50 juta.

Syarikat pengambilalihan tujuan khas itu sedang mematuhi syarat kelayakan pengambilalihan yang ditetapkan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk mendapatkan harga lebih rendah (berbanding harga asal AS$50 juta) dan melantik pengarah eksekutif bebas untuk menyelia perbelanjaan pembangunan infill. Pembelian itu akan dilakukan secara bersama melalui Sona Australia yang diketuai Robertson dan transaksi itu disasarkan selesai bulan ini.

ARTIKEL YANG SAMA