Pembenihan awan tidak perlu

Pembenihan awan tidak perlu

PUTRAJAYA, 18 Sept (Bernama) – Pembenihan awan tidak perlu dilakukan memandangkan keadaan jerebu di negara ini semakin reda, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata tahap jerebu berkurangan berikutan perubahan tiupan angin di rantau ini yang bertukar dari barat daya ke timur bermula semalam dan dijangka berlarutan sehingga Isnin.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada 8 pagi ini menurun ke paras sederhana (di bawah 100) di kebanyakan kawasan kecuali di Manjung (Perak), Kuching, Samarahan dan Sri Aman (Sarawak), Seberang Jaya (Pulau Pinang).

Menurutnya lagi pembenihan awan hanya dilakukan apabila IPU mencecah 150 dan berlarutan selama 72 jam.

Jarak penglihatan ruang udara di pusat pentadbiran kerajaan Putrajaya bertambah baik berbanding beberapa hari sebelum ini ketika negara tersebut dilanda jerebu teruk. – Bernama
Jarak penglihatan ruang udara di pusat pentadbiran kerajaan Putrajaya bertambah baik berbanding beberapa hari sebelum ini ketika negara tersebut dilanda jerebu teruk. – Bernama

Operasi pembenihan awan di Semenanjung Malaysia yang dilakukan pada Selasa hingga Khamis melibatkan Jabatan Meteorologi Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Keadaan jerebu di seluruh negara dijangka reda selepas berakhirnya musim Monsun Barat Daya pada pertengahan bulan ini, diikuti Musim Peralihan Monsun sehingga November ini, katanya.

Semasa Musim Peralihan Monsun, negara akan mengalami keadaan yang lebih lembap berbanding sekarang terutamanya di negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung dan Barat Sabah.

“Kita mungkin berdepan dengan banjir kilat di beberapa tempat di seluruh negara. Kini, banjir berlaku di bahagian utara Semenanjung. Ini akan berlaku dari sekarang hingga Oktober,” katanya.