Pemberi rasuah dihadap ke mahkamah

Pemberi rasuah dihadap ke mahkamah

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_161019_mahkamah-logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Okt – Seorang pengarah urusan syarikat pembinaan yang ditegah masuk ke Brunei Darussalam telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan memberi rasuah kepada seorang pegawai polis Brunei.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Liew Say Koo, juga pemilik Syarikat Say Koo (Liew) Sdn Bhd, yang didakwa memberi rasuah berupa kereta Toyota Hilux kepada Penguasa Khairur Rijal bin Haji Abu Salim, pada 2012.

Suapan itu adalah sebagai ganjaran kerana telah membantunya untuk masuk dan keluar dari Brunei Darussalam berulang kali antara tahun 2011 dan 2013.

Tertuduh diusir dari Brunei selepas menjalani hukuman dua tahun penjara pada 2007 atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat ke atas teman wanitanya yang berusia 26 tahun.

Sementara itu, Khairur Rijal pula didakwa pada Mac 2015 atas kesalahan menerima rasuah dan menyalahgunakan kuasa namun pendakwaan terhadapnya dihentikan dan kesnya diserahkan kepada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri yang mendapatinya bersubahat dengan penjenayah-penjenayah yang mempunyai kaitan dengan kumpulan penjenayah di dalam dan luar negara.

Kenyataan daripada Biro Mencegah Rasuah menyatakan, tertuduh diberkas di Miri pada 8 Oktober 2016 selepas waran tangkap dikeluarkan dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Biro Mencegah Rasuah Brunei dan Urus Setia Bantuan Guaman Bersama dan Extradisi.

Timbalan Pendakwa Raya, Christopher Ng membuat permohonan untuk melanjutkan tempoh tahanan reman tertuduh.

Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli memerintahkan tertuduh ditahan reman di Penjara Jerudong, dan menetapkan 8 November untuk sebutan kes.

ARTIKEL YANG SAMA