Pemberian bantuan jadi huru-hara

Pemberian bantuan jadi huru-hara

DHAKA, 10 Julai (AFP) – Kejadian rempuhan ketika pemberian bantuan Ramadan telah mengorbankan kira-kira 24 orang di Bangladesh hari ini ketika ratusan orang miskin cuba mendapatkan pakaian percuma, menurut polis.

Kejadian di bandar utara, Mymensingh itu berlaku apabila orang ramai cuba berasak-asak memasuki kawasan kilang melalui pagar kecil selepas berhimpun di luar sebelum subuh, menurut ketua polis setempat.

Rakaman di televisyen dari tempat kejadian itu menunjukkan keadaan kebinasaan teruk, dengan ratusan sandal koyak dan bertompok darah ditinggalkan di pagar kilang tembakau, yang terletak kira-kira 120 kilometer utara Dhaka, bandar Bangladesh.

“Setakat ini kami telah menemui 24 mayat. Kebanyakan yang terbunuh wanita miskin yang kurus kering,” ketua polis Mymensingh Moinul Haque memberitahu AFP, yang meletakkan bilangan mereka yang tercedera pada lebih 50 orang.

Kamarul Islam, pegawai kanan di sebuah stesen polis berhampiran kilang itu berkata angka kematian mungkin meningkat lagi sementara media setempat mengatakan ramai juga turut tercedera.

Ahli keluarga duduk berdekatan ahli keluarga yang menjadi mangsa kejadian tersebut. – AFP
Ahli keluarga duduk berdekatan ahli keluarga yang menjadi mangsa kejadian tersebut. – AFP

“Sebilangan orang telah mengambil mayat anggota keluarga mereka sebelum polis tiba di tempat kejadian,” kata Islam lagi.

Kebanyakan mangsa dibawa dengan beca ke hospital berhampiran dengan rakaman televisyen menunjukkan anggota keluarga bergegas-gegas melalui laluan masuk dan koridor, sambil mendukung mayat insan kesayangan mereka.

“Isteri saya telah pergi ke sana untuk mengambil pakaian untuk dirinya dan untuk anak-anak kami,” Mohammad Robiul seorang penarik beca, memberitahu saluran televisyen Somoy Television.

“Saya tidak tahu apa yang akan berlaku kepada anak-anak saya,” Robiul menambah sebelum menangis.

Seorang saksi memberitahu laman sesawang bdnews24 bahawa kejadian rempuhan bermula apabila sebilangan orang terjatuh ketika keadaan menjadi kelam kabut.

“Apabila pagar dibuka, semua orang berlari ke arahnya, menolak antara satu sama lain dan kemudian mereka mula terjatuh,” menurut saksi yang tidak dinyatakan namanya.