Pemberian sumbangan ‘SMALHB Prihatin’

Pemberian sumbangan ‘SMALHB Prihatin’

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Jun – Bagi meringankan beban keluarga pelajar Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah (SMALHB) yang kurang berkemampuan bagi kegunaan mereka di bulan Ramadan ini, SMALHB telah mengambil inisiatif dengan mengadakan Program Amal ‘SMALHB Prihatin’ bersempena bulan Ramadan pada tahun ini.

Menurut kenyataan dari SMALHB, Program Amal ini merupakan bantuan sumbangan yang dihulurkan dalam bentuk barang keperluan seharian seperti beras, minyak, gula, mi dan lain-lain keperluan lagi.

Sebanyak 17 buah keluarga pelajar telah diberi sumbangan ini. Warga SMALHB telah dibahagikan kepada lima kumpulan untuk menyampaikan sumbangan tersebut mengikut lima kawasan tadahan iaitu Kawasan 1: Kampong Air; Kawasan 2: Pengkalan Batu dan Lugu; Kawasan 3: Kota Batu dan Jalan Muara; Kawasan 4: Lambak, Rimba dan Gadong dan Kawasan 5: Tutong dan Kuala Belait.

Penyerahan sumbangan ‘SMALHB Prihatin’ kepada salah sebuah keluarga pelajar di kawasan Pengkalan Batu.
Penyerahan sumbangan ‘SMALHB Prihatin’ kepada salah sebuah keluarga pelajar di kawasan Pengkalan Batu.

Setiap kumpulan telah berkunjung ke rumah-rumah pelajar tersebut bagi penyerahan sumbangan dan seterusnya beramah mesra dengan keluarga penerima sumbangan.

Pemangku Pengetua SMALHB, Dayang Hajah Norjainah binti Haji Buntar telah mengetuai rombongan di kawasan tadahan 3 iaitu Kota Batu dan Jalan Muara.

Pihak sekolah berharap program ini dapat dilanjutkan ke tahun seterusnya bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim serta memberi peluang kepada warga SMALHB untuk turut sama beramal jariah.

ARTIKEL YANG SAMA