Pemberontak ELN bunuh 12 pegawai keselamatan

Pemberontak ELN bunuh 12 pegawai keselamatan

BOGOTA, 27 Okt (AFP) – Pemberontak Tentera Pembebasan Nasional membunuh 12 pegawai keselamatan semalam walaupun ketika kerajaan berusaha mencapai perjanjian perdamaian dengan anggota gerila FARC, kata Presiden Juan Manuel Santos.

“Sementara kami mempunyai salah satu pilihan raya paling tidak ganas dalam beberapa tahun (Ahad), ELN hari ini telah membunuh 11 tentera dan seorang pegawai polis di Boyaca,” kata Santos dalam ucapan yang disiarkan di televisyen daripada istana presiden.

“Hati saya benar-benar remuk,” kata Santos. “Ini menunjukkan ELN tidak memahami bahawa inilah masa aman, bukannya masa untuk peperangan.”

Presiden mengingatkan beliau telah mengarah Kementerian Pertahanan dan tentera untuk “mempertingkat” operasi anti-ELN.

“Jika ELN fikir perbuatan berkenaan akan memperoleh ruang politik, atau pengaruh dalam proses rundingam, ia tersilap,” tambah beliau.

Menteri Pertahanan Colombia, Luis Carlos Villegas menyampaikan ucapan pada sidang akhbar di Bogota mengenai tragedi pembunuhan 12 anggota pasukan keselamatan di wilayah Boyaca, semalam. – AFP
Menteri Pertahanan Colombia, Luis Carlos Villegas menyampaikan ucapan pada sidang akhbar di Bogota mengenai tragedi pembunuhan 12 anggota pasukan keselamatan di wilayah Boyaca, semalam. – AFP

Kerajaan Santos telah terbabit dalam rundingan perdamaian dengan kumpulan gerila terbesar Colombia, FARC, sejak 2012, yang diharap dapat berakhir dengan pemeteraian perjanjian perdamaian muktamad pada Mac 2016.

Setelah mengumumkan jadual masa tersebut pada bulan lalu, Santos menggalak ELN, yang mempunyai kira-kira 2,500 anggota berbanding dengan 7,000 anggota FARC, supaya mengikut jejak langkah FARC dalam usaha mencapai satu perjanjian perdamaian.

ELN telah mengambil bahagian dalam rundingan perdamaian awal dengan kerajaan sejak 2014, tetapi masih belum memulakan proses perdamaian formal.

Penduduk Colombia mengundi dalam pilihan raya tempatan dan serantau pada Ahad.