Pemberontak ELN tawan 2 tentera

Pemberontak ELN tawan 2 tentera

BOGOTA, 28 Okt (AFP) – Kumpulan pemberontak Tentera Pembebasan Kebangsaan Colombia (ELN) menjadikan dua tentera tebusan setelah menawan mereka dalam satu serangan yang membunuh 12 tentera dan polis, kata pegawai semalam.

“Dua tentera telah diculik,” kata Menteri Pertahanan Luis Carlos Villegas selepas Presiden Juan Manuel Santos mengadakan satu mesyuarat luar biasa majlis keselamatan negara ekoran serangan pada Isnin di kawasan terpencil Bachira.

Serangan itu, yang dikatakan oleh kerajaan membunuh 11 askar dan seorang pegawai polis, menyasarkan satu konvoi yang menghantar keputusan daripada pilihan raya tempatan dan serantau pada Ahad.

Ia menjejas apa yang digelar oleh Santos pilihan raya paling aman dalam sejarah terbaru Colombia.

ELN, kumpulan yang lebih kecil daripada dua kumpulan gerila yang bertempur menentang kerajaan Colombia sejak 1960, telah melancarkan beberapa siri serangan baru-baru ini, walaupun ketika kerajaan hampir-hampir mencapai satu perjanjian perdamaian dengan kumpulan pemberontak Angkatan Revolusi Bersenjata Colombia (FARC).

Serangan pada Isnin juga mencederakan tiga tentera. Seorang polis dan seorang jurupandu daripada kumpulan asli U’wa masih hilang.

Villegas berkata ELN bertanggungjawab atas “keselamatan dan nyawa” dua tentera dan mengulang janji presiden untuk meneruskan serangan ke atas kumpulan tersebut.

ELN mengaku bertanggungjawab atas serangan tetapi mempertikai jumlah kematian, mendakwa di Twitter bahawa “17 tentera dan seorang pegawai polis telah terbunuh dan beberapa orang cedera.”

ARTIKEL YANG SAMA