Pemberontak lancar serangan

BEIRUT, 12 Jan – Kumpulan pemberontak Syria melancarkan serangan balas semalam ke atas pasukan kerajaan yang mara ke arah pangkalan udara yang dikuasai pemberontak di wilayah barat laut Idlib negara itu, menawan beberapa buah kampung, dan menjadikan orang awam sebagai tahanan mereka, menurut kumpulan pembangkang.

Tindakan oleh beberapa kumpulan, termasuklah Jawatankuasa pembebasan Levant yang mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda telah memperlahankan serangan kerajaan ke arah pangkalan udara Abu Zuhour yang telah dikuasai oleh pemberontak sejak tahun 2015.

Penawanan semula pangkalan udara telah menjadi matlamat utama kerajaan sejak lewat Oktober lalu dan pasukan Syria telah menawan kira-kira 160 buah kampung sejak kali pertama melancarkan serangan. Operasi itu juga bertujuan untuk mendapatkan jalan raya yang menghubungkan ibu negara, Damsyik dengan Aleppo, bandar terbesar Syria.

Gambar serahan kumpulan militan Ahrar al-Sham menunjukkan pelancaran roket kumpulan itu dengan menyasarkan kedudukan tentera kerajaan Syria di bandar Atsan, di kawasan utara Atshan di Syria, semalam. – AP

Penolong Setiausaha Agung PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan, Mark Lowcock, di Damsyik berkata dia “amat bimbang” mengenai nasib orang awam yang terperangkap dalam keganasan di Idlib. Pertikaian telah mengakibatkan kira-kira 100,000 orang melarikan diri ke arah utara menuju kawasan yang lebih selamat berhampiran sempadan Turki.

Lowcock, dalam misi pertamanya ke Syria sejak dilantik tahun lalu, menggesa bagi persetujuan untuk membenarkan PBB dan pertubuhan bantuan lain untuk tiba kepada 2.5 juta penduduk Syria yang memerlukan bantuan tetap. Mereka adalah warga Syria di kawasan yang diklasifikasikan PBB sebagai ‘dikepung’ atau ‘sukar dicapai.’ PBB telah memberikan bantuan kepada purata 7.5 juta orang setiap bulan pada tahun lalu.

Penolong setiausaha agung berkata dia “sangat perihatin dengan nasib penduduk di Timur Ghouta yang dikepung,” sebuah kawasan pembangkang di pinggir bandar Damsyik. Pasukan kerajaan telah melancarkan serangan ke atas pangkalan tentera yang berdekatan pada November lalu. Pengeboman itu telah membunuh 170 orang awam dalam tempoh dua minggu lalu, menurut kumpulan Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan Syria yang berpangkalan di Britain. – AP