Pemberontak serang hendap konvoi bantuan tentera

Pemberontak serang hendap konvoi bantuan tentera

MANILA, 18 Dis (Reuters) – Pemberontak Maois di Filipina mengeksploitasi keadaan huru-hara akibat taufan untuk menyerang konvoi bantuan tentera hari ini, menurut pihak berkuasa, tatkala jumlah kematian akibat taufan Melor meningkat kepada 41 orang.

Taufan Melor berada pada kategori tiga apabila ia membuat pendaratan di bahagian tengah Filipina minggu ini, dan bertenang di Laut China Selatan semalam, tetapi menyebabkan kemusnahan besar ke atas kawasan pertanian dan prasarana.

Kumpulan gerila terbabit menyerang hendap konvoi bantuan tentera pada awal hari ini, mencederakan dua anggota tentera, kata pegawai pengurusan bencana.

“Konvoi tentera diserang hendap selepas menghantar bekalan di kawasan yang dilanda taufan,” kata Alexander Pama dari Majlis Pengurangan dan Pengurusan Bencana Kebangsaan.

Jurucakap tentera mempersalahkan serangan hendap tersebut ke atas kumpulan pemberontak diketuai Maois.

Komunis Tentera Rakyat Baru melancarkan kempen gerila di wilayah berkenaan sejak lebih empat dekad dan serangan itu berlaku hanya lima hari menjelang gencatan sejata sehala yang diisytiharkan kumpulan pemberontak.

Bagaimanapun usaha Reuters untuk mendapatkan ulasan daripada jurucakap pemberontak menemui kegagalan.

Media melaporkan 41 orang maut akibat taufan termasuk dalam kejadian pokok tumbang, lemas dan terkena renjatan elektrik, selain tertimbus oleh tanah runtuh.

ARTIKEL YANG SAMA