Pemberontak Syria tawan dua jajahan IS

Pemberontak Syria tawan dua jajahan IS

ALEPPO, Syria, 9 Jun – Para pemberontak Syria telah membuka semula saluran bekalan penting dengan menawan dua buah kampung dari kumpulan pejuang jihad Islam IS ketika ia menerima tekanan dari pelbagai barisan hadapan di Syria dan Iraq.

IS telah menguasai kawasan besar di kedua-dua negara sejak mengisytiharkan ‘gaya Khalifahnya sendiri’ pada tahun 2014 tetapi kehilangan wilayah di tengah serangan berasingan.

Di Syria, pasukan pro kerajaan, para pemberontak dan gabungan Arab-Kurdis yang disokong AS terlibat dalam serangan untuk memberi tekanan ke atas saluran bekalan para pejuang pelampau, sementara pasukan Iraq mara ke arah bandar Fallujah yang dikuasai IS.

Rejim Damsyik juga meningkatkan serangannya ke atas kawasan pihak pembangkang terutamanya di bandar kedua, Aleppo, yang mana kira-kira 15 orang awam terbunuh semalam dalam pengeboman oleh pasukan pro kerajaan.

Di utara bandar itu, para pejuang pemberontak membuka semula laluan bekalan penting yang menghubungkan dua kubu utama mereka di wilayah Aleppo: Marea dan Azaz.

Dalam lewat Mei, IS telah menawan beberapa buah kampung antara kedua-dua bandar itu, dengan memutuskan laluan masuk ke sempadan Turki supaya tidak boleh dimasuki oleh pasukan pembangkang Marea.

Tetapi awal semalam, para pemberontak yang disokong oleh kumpulan pejuang Islam melancarkan serangan serentak dari Marea dan Azaz, yang mengusir pejuang jihad IS dari kampung Kafr Kalbin dan Kaljibrin dan membuka semula jalan raya itu, menurut Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan Syria.

Rami Abdel Rahman dari Pemerhati itu berkata para pejuang IS malah berundur dari bandar dan kampung timur laluan bekalan, termasuklah Dudyan berhampiran sempadan.

Di Aleppo, bom berangkai digugurkan dari helikopter kerajaan yang mengorbankan 10 orang berhampiran hospital Al-Bayan di kawasan Shaar, menurut pihak pemerhati.

“Kami mempunyai tiga bilik operasi dan semua peralatan di dalamnya telah rosak kerana kekuatan letupan,” doktor Marwan al-Radwan memberitahu AFP. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA