Pembesaran kawasan Bandaran Tutong diteliti

Pembesaran kawasan Bandaran Tutong diteliti

Oleh Imelda Groves HA & Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mac – Cadangan untuk membesarkan kawasan Lembaga Bandaran Pekan Tutong daripada yang ada sekarang, kini masih diteliti.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong berkata Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) mendapati terdapat beberapa perkara yang perlu dihalusi dalam cadangan tersebut.

“Cadangan bagi perluasan kawasan lingkungan Lembaga Bandaran Tutong telah pun dibincangkan semenjak beberapa tahun yang lalu, pada tahun 2006 satu jawatankuasa task force telah ditubuhkan bagi meneliti cadangan-cadangan kawasan baru untuk memperluaskan kawasan Lembaga Bandaran Tutong yang ada masa ini,” ujarnya semasa menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh beberapa orang ahli Yang Berhormat pada hari kelima permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara, petang tadi.

Beliau menjelaskan lagi, terdapat beberapa cadangan perluasan kawasan telah pun dihadapkan kepada KHEDN melalui Majlis Lembaga Bandaran Tutong, jadi pihak kementerian mendapati terdapat beberapa perkara yang perlu dihalusi dalam cadangan tersebut.

Cadangan Lembaga Bandaran Tutong adalah untuk membesarkan kawasan lembaga Bandaran Pekan Tutong sebesar 62 kali ganda keluasannya dengan yang ada sekarang.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar ketika menjelaskan cadangan tersebut.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar ketika menjelaskan cadangan tersebut.

pg01_160311_MMN-_Logo

“Setelah penilaian dibuat terdapat keperluan untuk cadangan-cadangan berkenaan diperhalusi mengikut perkembangan semasa dan juga mengambil kira pertumbuhan di masa akan datang,” jelas Yang Berhormat Pehin.

Menyentuh mengenai isu kebersihan, beliau menekankan bahawa tanggungjawab untuk memelihara kebersihan dan keindahan persekitaran di kawasan Lembaga Bandaran Tutong bukanlah dilaksanakan sepenuhnya oleh Jabatan Bandaran Tutong sahaja.

Menurutnya, terdapat beberapa buah agensi kerajaan lain yang memainkan peranan dalam sama-sama menjaga kualiti kebersihan dan keindahan persekitaran Pekan Tutong, seperti Jabatan Alam Sekitar Taman dan Rekreasi.

Dalam hubungan ini perbincangan dan kerjasama di antara jabatan dan agensi-agensi yang berkenaan memang sentiasa diadakan dan terus dipertingkatkan bagi sama-sama menjaga imej kebersihan dan keindahan Pekan Tutong.

ARTIKEL YANG SAMA