Pembesaran pelabuhan Sepanggar seimbangkan pembangunan Sabah

Pembesaran pelabuhan Sepanggar seimbangkan pembangunan Sabah

KOTA KINABALU, 15 Feb – Pembesaran Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar (SBCP) dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) menandakan pengiktirafan penting kepada keperluan infrastruktur pelabuhan Sabah untuk mengimbangi pembangunan ekonomi negeri, kata Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Beliau berkata, Pelabuhan Sepanggar juga telah dikenal pasti sebagai pemangkin di bawah Strategi Lautan Biru Negara untuk merangsang dan memacu pertumbuhan ekonomi di Greater Kota Kinabalu.

“Bandar raya seperti Greater Kota Kinabalu, telah memainkan peranan penting dalam pertumbuhan negara dengan menyediakan peluang pelaburan dan perdagangan.

“Ketersambungan yang lancar antara kawasan pedalaman dan pasaran global akan mempercepatkan pembangunan industri dan ekonomi negeri,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Pelabuhan Sepanggar di sini, hari ini.

Pairin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Negeri berkata, SBCP akan bertindak sebagai pintu masuk bukan sahaja untuk Sabah, tetapi juga pasaran Komuniti Ekonomi ASEAN dan Perkongsian Trans-Pasifik.

Mengenai pembesaran SBCP di bawah inisiatif Koridor Pembangunan Sabah, beliau berkata, ia akan dibangunkan sebagai hab pindah kapal di bawah RMK-11. -Bernama

“Pelan induk untuk menaik taraf dan memperbesarkan infrastruktur SBCP bagi membolehkan pengendali kapal utama akan disediakan tahun ini.

“Strategi pindah kapal akan meningkatkan ketersambungan negeri kepada pasaran antarabangsa, dengan itu menjana volum kargo lebih tinggi bagi menarik syarikat kapal singgah di pelabuhan itu.

“Ia akan menjadi pemangkin jangka panjang kepada aktiviti perusahaan di negeri ini,” katanya.

Pairin berkata, menjadikan SBCP sebagai hab pindah kapal sesuai dengan lokasi strategik pelabuhan itu di laluan perkapalan utama dagangan laut Asia Timur dan di tengah Kawasan Pertumbuhan Asia Timur Brunei, Indonesia, Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

“Strategi pindah kapal, bersama inisiatif penambahbaikan lain oleh pelabuhan itu akan menangani isu ketidakseimbangan perdagangan yang dapat mengurangkan kos pengangkutan laut.

“Ia bukan sahaja akan membawa kepada pengurangan kos menjalankan perniagaan serta kos sara hidup di Sabah, tetapi juga meningkatkan daya saing ekonomi negeri dalam jangka panjang,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA