Pembiayaan projek bantuan dibiayai oleh MUIB

Pembiayaan projek bantuan dibiayai oleh MUIB

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mac – Pembiayaan Projek Bantuan Pembinaan Rumah bagi Golongan Daif, Fakir dan Miskin dibiayai sepenuhnya oleh Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) melalui kumpulan wang zakat sebanyak $35 juta dengan penyediaan infrastruktur seperti jalan raya, air dan elektrik disediakan oleh kerajaan.

“Projek Bantuan Pembinaan Rumah bagi Golongan Daif, Fakir dan Miskin ini adalah sebagai manifestasi keprihatinan kerajaan dalam memeduli kesejahteraan dan kebajikan rakyat dan penduduk di negara ini, khususnya bagi golongan daif, fakir dan miskin yang memerlukan bantuan bagi memberikan mereka kehidupan yang lebih selesa dan sempurna.”

Penjelasan itu dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim ketika Majlis Mesyuarat Negara bersidang untuk hari ketiga, hari ini.

Projek bantuan perumahan itu adalah merupakan projek yang diusahakan oleh beberapa buah agensi kerajaan termasuk Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pembangunan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan juga Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, jelasnya lagi ketika menjawab persoalan yang dikemukakan oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Shafiee bin Ahmad dan Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Haji Ahad mengenai projek bantuan perumahan berkenaan. Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman berkata, setakat ini, seramai 185 pemohon telah dikenal pasti berkelayakan untuk dihulurkan bantuan pembinaan rumah di bawah projek pembinaan itu di mana pada 2015, sebanyak 18 buah rumah telah siap dibina di bawah projek berkenaan dan diserahkan kepada penerima-penerima rumah bantuan.

“Setakat ini, sebanyak 89 buah rumah telah pun diserahkan kepada penerima-penerima di bawah projek bantuan pembinaan rumah ini, termasuklah 12 buah rumah yang dibaik pulih. Ini termasuklah 12 buah rumah di Kuala Belait dan 20 buah rumah di Daerah Temburong.”

Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee ketika menyuarakan persoalannya.
Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee ketika menyuarakan persoalannya.

pg01_160309_MMN-_Logo

Beliau menerangkan lagi bahawa sebanyak 12 buah rumah bantuan juga telah selesai dibina pada Januari 2016, di mana rumah-rumah itu adalah rumah bantuan peringkat ke-2 di tapak berkelompok di Kampung Tagap, Jerudong.

Penyerahan rumah-rumah bantuan berkenaan akan dibuat dalam waktu terdekat sebaik sahaja pihak MUIB menyerahkan senarai nama-nama pemohon yang akan mendiami rumah-rumah tersebut.

“Pada masa ini, pembinaan 30 buah rumah bantuan di keempat-empat daerah juga sedang berjalan dan pembinaan rumah-rumah bantuan ini dibuat untuk pemohon-pemohon yang tersenarai dalam permohonan segera, ini termasuklah empat buah di Kuala Belait dan dua buah di Temburong.

“Jawatankuasa Bertindak Projek juga telah menghadapkan 32 permohonan yang telah disokong oleh MUIB kepada pihak Jabatan Kerja Raya bagi proses tawaran pembinaan rumah-rumah bantuan,” nyata Yang Berhormat Pehin lagi.

“Dalam perkara ini, 13 daripada 32 nama yang disokong adalah bagi pembinaan rumah-rumah bantuan pada penerima-penerima yang dikategorikan sebagai penerima yang diberikan keutamaan dan 19 orang yang tersenarai lagi adalah bagi pembinaan rumah-rumah bantuan di bawah projek fasa dua, pakej dua.

“Sebahagian lagi permohonan ada yang telah selesai melalui proses tawaran dan telah dihadapkan kepada pihak MUIB untuk sokongan tawaran dan seterusnya penyediaan peruntukan bagi pembinaan rumah-rumah bantuan.”

Manakala itu, Yang Berhormat Pehin juga menjawab persoalan mengenai dengan kedudukan berek-berek terbiar di Daerah Belait dan cadangan untuk menggunakan berek-berek berkenaan untuk penempatan kepada golongan yang berkeperluan yang turut dikemukakan oleh Yang Berhormat Haji Shafiee.

Beliau berkata bahawa pihak kerajaan melalui usaha sama pelbagai agensi termasuk Jabatan Daerah Belait, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri telah mengusahakan dengan menggunakan berek-berek berkenaan sebagai tempat penempatan bagi golongan yang berkeperluan.

“Dalam hal ini, usaha-usaha membaik-pulih berek-berek berkenaan hanya akan dibuat setelah pihak yang berkenaan mengenal pasti mereka yang akan ditempatkan di berek berkenaan mengikut kriteria kelayakan yang disahkan oleh pihak yang berkepentingan.”

ARTIKEL YANG SAMA