Pembimbing haji kuasai kemahiran teknologi terkini

Pembimbing haji kuasai kemahiran teknologi terkini

KOTA KINABALU, 13 Dis (Bernama) – Pembimbing haji di negara ini perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan selain mahir menggunakan teknologi terkini bagi menyampaikan maklumat tepat dengan cepat dan pantas.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata ini penting kepada semua pembimbing haji dalam mereka berhadapan dengan pelbagai isu disebarkan melalui media sosial.

Beliau berkata pendekatan itu juga adalah selaras dengan peranan pembimbing haji sebagai ‘Duta Tabung Haji’ yang menjadi tempat rujukan untuk mendapatkan penerangan dan penyaluran maklumat tepat kepada jemaah haji.

“Kita menghadapi cabaran besar (iaitu) cabaran fitnah, tohmahan, maklumat di hujung jari tersebar sewenang-wenangnya. Atas sebab itu, apa sahaja yang dibincangkan dalam muzakarah ini perlu disampaikan secara berkesan kepada umat Islam di luar sana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan kali ke-32 musim haji 1437 Hijrah di sini hari ini.

Asyraf Wajdi berkata pembimbing haji perlu memainkan peranan penting dalam memberi kefahaman kepada masyarakat Islam supaya menghormati institusi agama itu yang diberi tanggungjawab dalam menyelenggarakan serta menguruskan jemaah haji.