Pembinaan dek jejambat di simpang Telanai bermula

Pembinaan dek jejambat di simpang Telanai bermula

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Nov – Pembinaan dek jejambat pada bahagian tengah (middle span) di atas gelagar yang telah dipasang bagi projek pembinaan jejambat (flyover) di Persimpangan Jalan Gadong / Jalan Telanai telah pun bermula dan kerja-kerja pembinaan akan mengambil masa selama sebulan.

Sehubungan itu, Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan memaklumkan orang ramai dan pengguna-pengguna jalan raya terutama penduduk di kawasan Telanai, Jangsak, Katok, Gadong dan sekitarnya bahawa lalu lintas di kawasan berkenaan akan mengalami gangguan sementara.

Untuk memastikan keselamatan para pengguna jalan raya, JKR dalam kenyataannya turut memaklumkan bahawa lampu isyarat Jalan Gadong / Jalan Telanai tidak akan beroperasi buat sementara waktu bermula jam 11:30 malam hingga 5:30 pagi untuk tempoh satu bulan.

Persimpangan lampu isyarat akan segera dibuka seperti sedia- kala sebaik sahaja kerja-kerja selesai. Oleh yang demikian, orang ramai yang akan menggunakan jalan tersebut dinasihatkan untuk sentiasa memandu dengan lebih berhati-hati dan mematuhi papan-papan tanda jalan yang dipasang bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.

Sebarang aduan, orang ramai bolehlah menghubungi pihak jabatan melalui Talian Darussalam 123 / livechat +673 8333123, Facebook Jabatan Kerja Raya, Brunei Darussalam dan e-mel ke alamat pro@pwd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA