Pembinaan pangkalan AS Okinawa ditangguh

Pembinaan pangkalan AS Okinawa ditangguh

TOKYO, 4 Ogos (Reuters) – Jepun hari ini berkata ia menangguhkan pembinaan sebuah pangkalan udara Amerika Syarikat (AS) yang menimbulkan perbalahan di pulau Okinawa, selama sebulan bagi memberi ruang bagi rundingan antara kerajaan pusat dan pihak berkuasa pulau itu yang membantah pangkalan udara itu.

Penduduk-penduduk Okinawa, tapak pertempuran berdarah antara pasukan tentera AS dan Jepun pada hampir penghujung Perang Dunia Kedua, telah lama membantah berpuluh-puluh ribu tentera AS dan pangkalan tentera AS di 18 peratus pulau mereka.

Gabenor pulau itu, Takeshi Onaga, yang telah memenangi pilihan raya tahun lalu sebahagian besarnya tetap dengan pendiriannya membantah pangkalan AS itu, dan telah menuduh Perdana Menteri Shinzo Abe memandang rendah kepada pulau dan penduduknya itu.

Kerajaan mahu memindahkan pangkalan Futenma Marin AS ke lokasi lain di selatan pulau itu tetapi Onaga dan ramai penduduk mahu menghapuskannya sama sekali.

Ketua Setiausaha Kabinet Yoshihide Suga berkata penangguhan dalam pembinaan akan membolehkan kedua belah pihak untuk secara menyeluruh membincangkan isu ini.

“Kerajaan akan sekali lagi menerangkan tentang pemikirannya berhubung pemindahan ke bahagian Okinawa sebagai sebahagian daripada rundingan tertumpu ke arah penyelesaian,” dia memberitahu sidang media.

Tetapi Suga berkata tidak ada perubahan dalam pendirian kerajaan.

Penangguhan pembinaan pada hakikatnya mengeluarkan isu beremosi itu dari rundingan, sementara kerajaan menggesa rang undang-undang keselamatan sensitif melalui parlimen.

Majoriti rakyat Jepun membantah rang undang-undang keselamatan itu, yang membolehkan tentera Jepun berjuang di luar negara buat pertama kali sejak Perang Dunia Kedua dan adalah keutamaan desakan Perdana Menteri Abe bagi pendirian keselamatan yang lebih kuat.

Perundangan telah melepasi dewan rendah parlimen dan sedang dibahaskan di dewan tinggi, tetapi ia melemahkan kadar sokongan bagi Abe kepada kurang 40 peratus.

Pengulas politik, Atsuio Ito berkata Abe tidak boleh mengambil pendirian keras seumpama itu berhubung pangkalan Okinawa, kerana popularitinya telah terjejas oleh rang undang-undang keselamatan.