Pembinaan semula serombong Battersea Power Station separuh siap

Pembinaan semula serombong Battersea Power Station separuh siap

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) – Battersea Power Station Development Co (BPSDC) mengesahkan serombong pertama daripada empat serombong yang akan dibina semula di London Borough of Wandsworth (LBW) telah mencapai paras 25m melepasi tahap tertinggi menara.

BPSDC yang berpangkalan di Britain, bagi pihak pemegang saham Battersea Power Station, berkata pengesahan bahawa paras 25m yang dikehendaki telah dicapai menunjukkan kerja-kerja merobohkan dan membina semula tiga serombong lain akan bermula tidak lama lagi.

“Program pembangunan semula itu untuk memastikan serombong tersebut, dilindungi bagi kepentingan generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif BPSDC Rob Tincknell berkata mencapai separuh daripada paras yang dikehendaki bagi pembinaan semula serombong pertama itu merupakan satu pencapaian penting kepada semua pihak yang terlibat dalam pembangunan semula Battersea Power Station.

Battersea Power Station dimiliki konsortium pelabur Malaysia terdiri daripada SP Setia, Sime Darby dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja manakala pengurusan pembangunan projek itu dilaksanakan BPSDC.

ARTIKEL YANG SAMA