Pembinaan stesen bumi tidak jejas pembangunan setempat

Pembinaan stesen bumi tidak jejas pembangunan setempat

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) – Kerajaan memberi jaminan bahawa pembinaan satelit bumi kedua, RazakSat-2 di Tuaran, Sabah, tidak akan menjejaskan tahap pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat. Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Wilfred Madius Tangau berkata pembinaan stesen bumi itu sebaliknya akan mendorong kepada pembangunan industri hiliran secara berterusan.

“Keputusan Makmal Pengurusan Nilai berkaitan Program Pembangunan Satelit RazakSAT-2 pada tahun 2012 dibuat setelah kerja penilaian dan analisis lokasi dijalankan dan mendapati bahawa pemilihan lokasi di daerah Tuaran adalah bersesuaian di atas beberapa faktor bagi menyokong pembangunan stesen bumi tersebut.

“Stesen bumi tersebut berfungsi sebagai pusat kawalan dan perhubungan sistem satelit yang mengorbit bumi di ruang angkasa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. Melihat kepada stesen bumi sedia ada yang telah dibangunkan di Banting, Selangor di bawah Agensi Angkasa Negara (Angkasa), katanya lokasi persekitarannya telah menjadi lebih kompetitif dan tidak memberi sebarang impak negatif kepada masyarakat setempat malah memberi lebih banyak faedah kepada pembangunan dari segi sosial dan ekonomi.

Bagi menangani persepsi negatif dalam kalangan masyarakat umum, Madius berkata pihak kementerian telah mengambil beberapa langkah proaktif dalam memberikan pendedahan secara menyeluruh melalui beberapa siri pameran, ceramah, pendekatan dan lain-lain termasuk penggunaan media sosial untuk meningkatkan tahap kesedaran khususnya dalam bidang sains dan teknologi angkasa.