Pembuangan sa...

Pembuangan sampah jejas sistem pembetungan di Sandakan

SANDAKAN, 20 April – Pem-buangan sampah ke dalam sistem pembetungan menyebabkan 15 Stesen Pam dan sembilan Loji Rawatan Kumbahan di daerah ini mengalami kerosakan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Raymond Tan Shu Kiah berikutan kerosakan itu, lubang pembetungan di beberapa kawasan perumahan dan bangunan kedai di daerah ini tersumbat. Katanya RM5.5 juta diperlukan bagi membaiki kerosakan stesen pam dan loji rawatan kumbahan tersebut.

“Kerosakan ini tidak sepatutnya berlaku sekiranya masyarakat sama-sama memainkan peranan untuk tidak membuang sampah ke dalam sistem pembetungan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Tindakan Daerah di sini, hari ini.

Menurutnya pada masa sekarang Jabatan Kerja Raya (JKR) yang mengendalikan sistem pembetungan sedang dalam proses membaiki kerosakan stesen pam dan loji rawatan kumbahan menerusi peruntukan sedia ada berjumlah RM3.9 juta.

Secara keseluruhannya, terdapat 94 sistem pembetungan di daerah ini termasuk 61 loji rawatan kumbahan, 31 stesen pam dan dua loji rawatan berkapasiti 60,000PE serta rangkaian paip pembetungan sepanjang 128,461 kilometer, katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian negeri berkata sampah yang dibuang ke dalam lubang pembetungan hingga merosakkan sistem pembetungan antaranya termasuk sisa minyak beku dari restoran, sisa bekas makanan dan minuman serta objek besar seperti peralatan memasak.

Katanya kesedaran tinggi di kalangan masyarakat diperlukan dalam mengatasi masalah sistem pembetungan tersumbat di daerah ini.

Justeru, beliau berkata kempen kesedaran di kalangan masyarakat akan diadakan dengan tumpuan di kawasan yang banyak mengalami masalah lubang pembetungan tersumbat. – Bernama