Pembukaan cawangan baru Restoran Gwad Basha

Pembukaan cawangan baru Restoran Gwad Basha

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Julai – Restoran dan Katering Gwad Basha, yang mengetengahkan masakan Arab, telah membuka cawangan barunya yang terletak di Unit 8, Blok D, Abdul Razak Complex, Jalan Gadong.

Perasmian cawangan baru berkenaan, semalam, telah disempurnakan oleh Menteri kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dengan memukul gong dan memotong reben.

Turut hadir pada majlis perasmian berkenaan ialah ahli-ahli kor diplomatik dari Turki, Oman, Amerika Syarikat dan negara-negara lain.

Pengarah Urusan restoran itu, Pengiran Haji Anuar bin Pengiran Seri Indera Pengiran Haji Ismail dalam ucapan alu-aluannya antara lain berkata, dengan pembukaan cawangan baru mereka itu akan dapat menyokong Wawasan 2035 Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia untuk meningkatkan pertumbuhan dalam industri pengembaraan dan pelancongan terutamanya daripada segi sektor makanan dan minuman.

“Kami memberi tumpuan menerusi kepentingan pendidikan, pembelajaran dan latihan, kami akan menyokong dan membangunkan kemahiran belia Brunei dan bangsa lain yang mempunyai semangat untuk berjaya dalam kerjaya industri makanan dan minuman,” tambah beliau lagi.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi merasmikan pembukaan cawangan baru restoran berkenaan dengan memukul gong.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi merasmikan pembukaan cawangan baru restoran berkenaan dengan memukul gong.
Antara yang hadir pada majlis berkenaan.
Antara yang hadir pada majlis berkenaan.

Beliau juga berkata bahawa mereka akan memberi galakan dan peluang kepada belia Brunei dan masyarakat lain untuk mempelajari pembuatan resipi masakan halal, sihat dan berbeza dengan sentuhan teknik cef bertaraf dunia.

Manakala itu, Yang Berhormat Pehin dalam ucapannya pula antara lain berkata, bidang perniagaan merupakan satu jurusan yang sangat mulia dan dituntut dalam agama Islam.

“Ianya sangat mencabar, akan tetapi menjanjikan pulangan yang lumayan jika ianya dijalankan mengikut tatacara dan lunas-lunas yang tepat.”

Yang Berhormat Pehin berharap pihak Restoran dan Katering Gwad Basha Sdn Bhd akan dapat membantu kerajaan dengan memberikan peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan sama ada secara penuh masa atau sambilan dengan memberi peluang kepada mereka untuk bekerja secara ‘flexi hours’.

ARTIKEL YANG SAMA