Pembukaan F1 musim 2016 dianjak ke April

Pembukaan F1 musim 2016 dianjak ke April

MELBOURNE, 30 April – Perlumbaan Formula Satu (F1) musim 2016 akan bermula lewat berbanding kalendar sebelum ini apabila persaingan pembukaan di Australia telah dianjak ke April, kata pihak penganjur semalam.

Grand Prix Melbourne akan mengekalkan slot mereka sebagai penganjur perlumbaan pembukaan musim dalam kalendar F1, tetapi saingan tersebut hanya bermula pada 3 April yang bertujuan memadatkan jadual dengan musim bakal berakhir pada November. Biasanya perlumbaan F1 bermula pada pertengahan Mac.

Perubahan tarikh itu bakal menyaksikan saingan di Australia hanya akan dilangsungkan selepas sambutan Hari Easter di negara itu dan perlumbaan dijangka diadakan lebih awal berbanding waktu biasa, walaupun keputusan muktamad masih belum diumumkan.

“Memang cukup hebat apabila Melbourne sekali lagi akan menjadi perlumbaan pembukaan musim untuk Kejuaraan Dunia Formula Satu.

“Tarikh baharu itu akan menyaksikan perlumbaan juga bakal bermula lebih awal, dan para peminat masih boleh mengharapkan aksi menarik di dalam dan luar litar sepanjang empat hari F1 diadakan,” kata Ketua Eksekutif Grand Prix Australia Corporation, Andrew Westacott dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Sebelum ini, Grand Prix Australia pernah dilangsungkan pada April ia­itu pada 2006 untuk mengelak daripada bertembung dengan Sukan Komanwel yang diadakan di Melbourne.

Pada tahun berkenaan perlumbaan diadakan pada 2 April sebagai perlumbaan pusingan ketiga.

Kalendar F1 2016 masih belum dikeluarkan tetapi saingan klasik Grand Prix Itali di Monza berkemungkinan besar tidak akan berada dalam jadual perlumbaan.

Supremo Formula Satu, Bernie Ecclestone berkata awal bulan ini, dia bersedia mempertimbangkan untuk menggugurkan perlumbaan itu.

Tahun ini Grand Prix Jerman, yang sepatutnya dijadualkan akan menganjurkan perlumbaan pada 19 Julai, telah digugurkan daripada kalendar pada Mac lepas dan tindakan itu mengejutkan ramai pemerhati. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA