Pembukaan mudah bagi Lee Chong Wei

Pembukaan mudah bagi Lee Chong Wei

RIO DE JANEIRO, 12 Ogos – Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei yang memulakan kempen memburu pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik Rio, tidak diuji sepenuhnya apabila mencatat kemenangan mudah dalam perlawanan Kumpulan A di Pavilion 4, Riocentro di sini hari ini.

Jaguh badminton Malaysia itu, yang mempersiapkan diri untuk berdepan musuh ketatnya, Lin Dan dari China, hanya mengambil masa 18 minit untuk menewaskan Soren Opti, 19, dari Surinam 21-2, 21-3 dalam aksi pembukaan dan akan berdepan pemain Singapura, Derek Wong Zi Liang pada Ahad.

Selaku pilihan utama di sini, Chong Wei mendapat ‘bye’ di pusingan kedua dan dijangka bertemu pemain Taiwan yang juga pilihan keenam, Chow Tien-chen di suku akhir, sebelum menentang pemenang pingat emas dua kali berturut-turut di temasya Olimpik, Lin Dan di separuh akhir.

“Ia permulaan yang baik tetapi saya tidak menampilkan aksi sepenuhnya ke-rana lawan saya tidak menguji kemampuan sebenar saya. Bagaimanapun, saya tetap fokus dalam memulakan kempen saya di sini.

“Saya sudah membuat persiapan selama empat tahun dan saya mahu memastikan untuk melakukan yang terbaik di sini.

pg23_160813_olympic logo

Datuk Lee Chong Wei ketika membalas han-taran lawannya dari Surinam, Opti Soren dalam perlawanan pertama kumpulan A pada temasya Sukan Olimpik Rio 2016 di Riocentro Pavilion 4. – Bernama
Datuk Lee Chong Wei ketika membalas han-taran lawannya dari Surinam, Opti Soren dalam perlawanan pertama kumpulan A pada temasya Sukan Olimpik Rio 2016 di Riocentro Pavilion 4. – Bernama

“Saya sudah dapat membiasakan diri dengan gelanggang dan berada dalam keadaan baik…saya suka dengan keadaan angin di stadium ini kerana bulu tangkis bergerak perlahan,” kata pemain berusia 33 tahun itu, yang beraksi buat kali keempat dan terakhir bagi menyumbangkan pingat emas pertama kepada Malaysia di Olimpik.

Pada perlawanan sebelum itu, Lin Dan yang merupakan pilihan ketiga, memulakan misinya memburu gelaran ketiga di temasya Olimpik, dengan mencatat kemenangan 2-0 ke atas pemain Austria, David Obernosterer dalam Kumpulan E.

Pemain China itu mengambil masa 34 minit untuk menumpaskan lawannya 21-5, 21-11 dan dijadual bertemu pemain Vietnam, Nguyen Tien Minh dalam aksi peringkat kumpulan pada Ahad.

Ditanya mengenai tekanan dalam mempertahankan pingat emas, Lin Dan berkata ia bukan sesuatu yang mudah ataupun sukar, namun misi tersebut perlu dilunaskan. – Bernama