Pembukaan rasmi KKNK Temburong

Pembukaan rasmi KKNK Temburong

Oleh Mohammad Abdullah

 

TEMBURONG, 18 Mac – Konvoi Kenali Negara Kitani (KKNK) edisi kedua diadakan buat julung-julung kalinya di Daerah Temburong bagi mempromosikan Negara Brunei Darussalam dan khususnya Daerah Temburong sebagai sebuah destinasi pelancongan yang menarik.

Hadir bagi merasmikan acara KKNK yang diadakan di Bangunan Bumiputera, Bangar itu ialah Penghulu Mukim Bangar, Haji Abdul Rahman bin Merussin.

Turut hadir ialah Yang Di-Pertua Persatuan Motosikal Temburong, Awang Khairul Asyraf bin Bagol selaku tuan rumah acara berkenaan.

Awang Khairul Asyraf dalam ucapannya mengucapkan selamat datang kepada peserta-peserta KKNK yang mana akan mengunjungi dan menjelajah ke tempat-tempat menarik di Daerah Temburong selama tiga hari dua malam.

“Pada lazimnya Temburong adalah laluan persinggahan bagi penunggang-penunggang motosikal dari dalam dan luar negara.

Tetamu kehormat menyempurnakan pembukaan rasmi KKNK.
Tetamu kehormat menyempurnakan pembukaan rasmi KKNK.

“Dengan adanya acara KKNK ini maka para peserta berpeluang untuk menikmati keindahan yang terdapat di Temburong,” ujar beliau.

Acara berkenaan juga bertujuan bagi memberigakan Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-32 tahun.

Acara KKNK dengan slogan ‘Kenali dan Cintai Negara Kitani Brunei Darussalam’ telah dianjurkan bersama oleh Persatuan Motorsikal Darussalam (PEMODA) dan Persatuan Motosikal Temburong dengan kerjasama Majlis Perundingan Kampung (MPK) Piasau-piasau, Kampung Belais dan Kampung Sibut.

Ia turut disokong oleh Jabatan Daerah Temburong, Jabatan Kemajuan Pelancongan, Jabatan Belia dan Sukan serta Outward Bound Brunei Darussalam.