‘Pembunuh’ jeneral Burundi dikenal pasti

‘Pembunuh’ jeneral Burundi dikenal pasti

BUJUMBURA, Burundi, 10 Ogos (AFP) – Pendakwa raya Burundi semalam berkata pembunuh jeneral yang setia kepada Presiden Pierre Nkurunziza sudah dikenal pasti, manakala aktivis hak asasi yang ditembak dalam serangan balas kerana pembunuhan jeneral itu sudah dibenarkan meninggalkan negara tersebut.

Jeneral Adolphe Nshimirimana, yang dilihat secara meluas sebagai ketua keselamatan de-facto dalam negeri Burundi, terbunuh dalam serangan roket pada 2 Ogos lepas.

Beliau adalah pembantu rapat kepada Nkurunziza, yang pilihan raya bagi penggal ketiga beliau mencetuskan kontroversi dan menyebabkan berlakunya keganasan membabitkan kematian beratus-ratus orang, serta gerakan ke atas pembantah dan beribu-ribu penduduk melarikan diri dari negara berkenaan.

“Identiti pembunuh kini sudah dikenal pasti,” menurut satu kenyataan oleh pejabat pendakwa raya.

“Beberapa orang sudah diberkas. Bakinya serta dalang sedang diburu.”

Gambar fail Jeneral Adolphe Nshimirimana yang terbunuh dalam serangan roket pada 2 Ogos 2015. – Reuters
Gambar fail Jeneral Adolphe Nshimirimana yang terbunuh dalam serangan roket pada 2 Ogos 2015. – Reuters

Penahanan tersebut dibuat tatkala aktivis hak asasi manusia Pierre-Claver Mbonimpa dibenarkan meninggalkan ibu negeri Bujumbura ke Belgium pada semalam selepas beliau terselamat dalam percubaan membunuhnya minggu lepas, kata keluarganya.

Mbonimpa – yang sudah lama mengkritik pembunuhan pemimpin pembangkang – ditembak di bahagian mukanya pada 3 Ogos oleh lelaki tidak dikenali yang menaiki motosikal.

Anak perempuannya Amandine Nasagarare berkata keluarganya berasa lega kerana beliau dibenarkan pulang.

Beberapa orang diplomat, termasuk Duta Amerika Syarikat dan charge d’affaires Perancis, melawat aktivis berkenaan – yang memenangi hadiah hak asasi Henri Dunant pada 2011 – di hospital di Bujumbura.