Pembunuh ‘kopi beracun’ dipenjara 20 tahun

Pembunuh ‘kopi beracun’ dipenjara 20 tahun

JAKARTA, 6 Okt – Pihak pendakwa Indonesia semalam menuntut wanita yang dituduh membunuh temannya dengan memasukkan sianida ke dalam kopi temannya itu, meringkuk 20 tahun dalam penjara bagi kes yang berprofil tinggi itu.

Jessica Kumala Wongso, penduduk tetap Australia, menafikan rancangan pembunuhan rakan kolej, Wayan Mirna Salihin yang rebah dan meninggal dunia selepas meminum kopi di sebuah kafe mewah di Jakarta pada Januari lalu. Pihak pendakwa Melanie Wuwung berkata graduan rekaan berusia 27 tahun itu berniat membunuh Salihin dan melakukan rancangannya ‘dengan teliti’

“Tindakan defendan adalah kejam kerana ia dilakukan ke atas rakan baiknya,” kata Wuwung dalam hujah penutupnya, sebelum menggesa para hakim supaya menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun ke atas defendan.

Jessica Kumala Wongso (tengah), seorang wanita Indonesia dituduh membunuh rakan beliau dengan kopi berisi sianida, tiba untuk pendengaran perbicaraan beliau di Pusat Pengadilan Negeri Jakarta, Indonesia, kelmarin. – AP
Jessica Kumala Wongso (tengah), seorang wanita Indonesia dituduh membunuh rakan beliau dengan kopi berisi sianida, tiba untuk pendengaran perbicaraan beliau di Pusat Pengadilan Negeri Jakarta, Indonesia, kelmarin. – AP

“Sianida yang digunakan untuk menamatkan riwayat mangsanya tidak terus membunuhnya, tetapi sebaliknya menyeksanya sehingga mati.”

Wongso duduk bersendirian di tengah-tengah bilik mahkamah yang penuh sesak ketika dakwaan dibacakan. Kes ‘kopi racun’ telah mengundang tumpuan besar di seluruh Indonesia dengan beberapa rangkaian menyiarkan prosiding perbicaraan langsung dari dalam bilik mahkamah.

Beratus-ratus wartawan dan pemerhati memenuhi bangunan mahkamah Jakarta untuk melihat rekomendasi hukuman, yang mana pihak pendakwa mengambil masa hampir sembilan jam untuk membacakannya. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA