Pembunuh terima balasan dunia

Pembunuh terima balasan dunia

DHAKA, 9 Nov (Agensi) – Sebuah mahkamah Bangladesh semalam menjatuhkan hukuman mati ke atas empat lelaki yang didapati bersalah membunuh seorang kanak-kanak berusia 13 tahun, kes yang mencetuskan kemarahan rakyat negara itu selepas rakaman serangan itu menjadi viral.

Dua lagi lelaki diarah dihukum gantung dalam kes berasingan, juga membabitkan pembunuhan seorang budak berumur 13 tahun, yang berlaku kurang sebulan selepas kes pertama.

Dalam kes pertama, mahkamah di Sylhet, bandar di timur laut negara itu mendapati 10 orang bersalah membunuh Samiul Alam Rajon.

Keputusan itu mendapat sorakan ratusan orang yang berhimpun di luar mahkamah.

Dalam kejadian 8 Julai lalu, Samiul diikat pada tiang selepas dituduh mencuri basikal. Dia mati selepas dipukul sekumpulan lelaki.

Tertuduh utama Kamrul Islam dihukum mati. Begitu juga dengan tiga rakannya dengan seorang daripada mereka yang masih diburu, dihukum tanpa kehadirannya.

Enam lagi defendan dihukum menjadi dari setahun hingga seumur hidup.

Dalam kes kedua, seorang mekanik dan pembantunya yang didapati bersalah membunuh bekas kakitangannya berumur 13 tahun, juga dihukum mati.

ARTIKEL YANG SAMA